KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan memberi jaminan untuk melakukan penambahbaikan khususnya dalam sektor koperasi termasuk membuat pindaan kepada Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 1993.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, pihaknya akan melihat cadangan itu secepat mungkin sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ada inisiatif untuk kami pinda dan saya belum lihat secara terperinci lagi saya fikir saya akan cuba untuk lihat perkara ini secepat mungkin dan beri padangan sama ada patut pinda atau tidak.
“Apa pun kita nak tambah baik dari segi akta itu untuk memastikan golongan koperasi atau gerakan koperasi ini dapat dibangunkan dengan lebih holistik,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Grand Bazar Ramadan 2019 anjuran Media Prima di medan letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Usahawan mengkaji semula cadangan pindaan Akta Koperasi 1993 dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 bagi meningkatkan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pindaan yang dibuat itu juga selari dengan hala tuju kerajaan dalam memastikan sektor koperasi kekal relevan dan kompetitif kepada pembangunan negara.
Pencapaian sektor koperasi sehingga Jun 2018 menunjukkan perolehan mencecah sebanyak RM22.5 bilion, manakala aset berjumlah RM140.4 bilion dengan keanggotaan seramai 6.55 juta orang di seluruh negara. – MalaysiaGazette