KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota polis yang dibuang kerja ditahan bersama tiga individu lain kerana didapati memeras ugut dan meminta wang perlindungan dari peniaga lori setiap bulan.
Suspek utama yang dikenali sebagai Abang Long Balang bersama tiga suspek lain dicekup di Banting, Klang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tangkapan itu menyusul selepas polis menerima laporan bahawa pemandu lori berkenaan mendakwa dirinya ditahan sekumpulan lelaki pada 17 Mei lalu.
Kata beliau, siasatan awal mendapati pada kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian, pengusaha lori tanah yang berusia 27 tahun menerima maklumat pekerjanya telah ditahan sekumpulan lelaki di Banting.
Malah katanya pengusaha tersebut telah pergi ke tempat kejadian dan berjumpa dengan ketua kumpulan tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Long Balang.
“Suspek Abang Long Balang telah mengugut untuk mencederakan pengadu (pengusaha lori) dan memberitahu pengadu perlu membayar wang kepadanya setiap bulan sebagai wang perlindungan.
“Pengadu kemudiannya telah dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan 4×4 dan diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki iaitu Lan Taro.
“Ketika itu pengadu dipaksa untuk membayar sejumlah RM18,000 dan sekiranya tidak patuh, suspek bersama gengnya akan membakar dan memecahkan semua lori pengadu dan rakan kongsi pengadu,” katanya.
Berikutan laporan itu, pada 25 Mei lalu, katanya, polis menahan empat lelaki berumur antara 32 ke 42 tahun itu di Banting.
Menurut beliau, suspek utama Abang Long Balang dan tiga suspek lain mengakui dari Kumpulan Kongsi Gelap 77 dan 30.
“Beberapa suspek lain telah dikenalpasti dan saya mengarahkan mereka untuk hadir ke JSJ IPD Kuala Langat untuk siasatan lanjut.
“Diharapkan mereka yang menjadi mangsa dalam kejadian sebegini dapat tampil membuat laporan polis,” kata beliau. – MalaysiaGazette