KUALA LUMPUR – Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan MIC yang selari dengan idealogi serta perjuangan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan lebih besar gabungan pembangkang pada masa depan.
Sambil memberikan contoh kerjasama antara UMNO-Pas yang melakar kejayaan demi kejayaan dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, Presiden IPF, Datuk M Sambathan melahirkan keyakinannya dengan ‘penyatuan’ MIC-IPF.
“Kita bukan bubar parti IPF atau gabungkan IPF dengan MIC, sebaliknya kita akan bekerjasama atas semangat BN yang perjuangannya tidak pernah lari daripada memperjuangkan kepentingan semua kaum walaupun berbeza parti serta bangsa.
“Sudah tiba masanya untuk MIC dan IPF duduk semeja berbincang dalam memastikan kemenangan pada PRU akan datang adalah milik kita, apatah lagi kerajaan yang diundi rakyat berdasarkan fitnah dan pembohongan nampaknya tidak akan kekal lama.
“MIC yang diterajui oleh Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran juga sangat ‘gentleman’ apabila mempelawa kita bekerjasama dan bukannya meminta kita bergabung atau membubarkan parti kita yang sudah puluhan tahun.
“Pada saya, mungkin pada masa-masa lalu, kita banyak tidak sependapat atau berbeza pandangan tetapi perjuangan kita tetap sama apatah lagi ketika berjuang untuk komuniti India.
“Pembangkang yang kini kerajaan hanya banyak membuat ‘bising’ pada masa lalu sedangkan kami yang bukan sahaja berjuang, sebaliknya berjaya melakukan pelbagai usaha naik taraf pembangunan serta sosio ekonomi masyarakat India di negara ini.
“Dengan kerjasama ini, saya amat positif tentang masa depan BN, kita pasti akan dapat menjadi lebih kuat dan suara kita akan menjadi lebih riuh serta lantang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Baru-baru ini Vigneswaran yang juga Yang DiPertua Dewan Negara mendedahkan beberapa pemimpin seperti Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Tan Sri S Nallakaruppan dan bekas Naib Presiden Gerakan, Datuk A Kohilan Pillay menyertai MIC.
Selain daripada mereka, Vigneswaran juga mendedahkan hasrat menggabungkan semua parti India di negara ini di bawah satu bumbung termasuk IPF, Makkal Sakthi namun semuanya dalam peringkat perancangan.
Walaupun parti berasaskan kaum, namun Vigneswaran tetap menegaskan perjuangan untuk kaum-kaum lain tetap menjadi keutamaan sama seperti sebelum ini.
Ada juga ura-ura mengatakan rata-rata mereka akan diberikan ‘jawatan tertinggi’ parti namun ia masih lagi sekadar cakap-cakap dan khabar angin.
Dalam pada itu, Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara menyatakan masih terlalu awal bagi pihaknya atau sesiapa untuk bercakap tentang peruntukan kerusi atau jawatan tertentu, sebaliknya menguatkan parti adalah kepentingan serta keperluan penting ketika ini.
Walaupun seringkali dianggap sebagai sekadar parti ‘nyamuk’ dan serpihan daripada MIC, namun IPF sudah lebih 28 tahun bertapak di negara ini dengan agenda utama memajukan serta menjaga komuniti India.
Walaupun mewakili penduduk minoriti iaitu kira-kira dua juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin parti yang mewakili komuniti India kelihatan tidak boleh duduk semeja untuk berbincang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Antara yang paling aktif dalam BN selain daripada MIC dan IPF, adalah Makkal Sakti yang diterajui Datuk R.S.Thanenthiran, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) diketuai Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan MUIP. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/26/sah-kohilan-pillay-masuk-mic-selepas-gerakan-hilang-visi-misi/