Abdul Ghani Haroon
Abdul Ghani Haroon

KUALA LUMPUR – Sekretariat penaja Parti Negara (Negara) tidak berpuas hati penjelasan Scicom Berhad (Scicom)  mengenai isu pengurusan visa pelajar asing.

Setiausahanya, Abdul Ghani Haroon berkata, kenyataan Naib Presiden Kanan, Bahagian Audit Dalaman, Risiko dan Governan Scicom, Wong Yee Ling dibuat tanpa bersandarkan fakta.

Kata beliau, pihaknya juga mendapati penjelasan itu bukan dibuat oleh pengurusan tertinggi Scicom yang hampir keseluruhan mereka termasuk ketua pegawai eksekutifnya adalah warganegara asing.

“Dalam kenyataan itu, Yee Ling menyatakan Scicom diberi kontrak tersebut melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta sedangkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri boleh membina dan menjalankan pengurusan sistem tersebut.

“Melalui cara ini, setiap caj pengurusan yang dikutip dari pelajar asing akan menjadi pendapatan kerajaan, bukan pendapatan syarikat asing berkenaan.

“Beliau juga telah berbohong kepada media menyatakan kontrak ini diluluskan Kabinet, sedangkan kami mendapat tahu ia diluluskan ketika zaman Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pendidikan tanpa sebarang kelulusan kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Ghani, Scicom hanya menggunakan sistem open source untuk membina sistem pengurusan visa pelajar asing yang sebenarnya amat murah dan tidak melibatkan kos tinggi untuk dibina dan diselenggara.

Oleh itu, kata beliau, tidak ada keperluan langsung untuk caj tambahan RM1,000 yang dikenakan kepada setiap pelajar.

Pihak Scicom juga didapati tidak mengikut tataurus sebagai sebuah syarikat senaraian awam yang digubal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan tidak menerangkan secara telus pendapatan didapati dari kontrak EMGS itu.

Dengan itu, kata beliau, wujud kemungkinan pelanggaran Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Scicom juga tidak menjawab kenapa kakitangan Jabatan Imigresen ditempatkan di pejabat mereka, bukan di pejabat Imigresen itu sendiri dan hubungan eratnya dengan Khaled.

“Malah, banyak lagi persoalan yang tidak dijawab oleh Scicom termasuk mengapa pegawai Khaled menjadi pemegang saham dan pengarah dalam satu anak syarikat itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast