KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memohon supaya Mahkamah Tinggi memutuskan kes saman fitnah yang dikemukakan pihaknya terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus (summary judgment) iaitu tanpa perbicaraan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
“Pada 13 Mei, kita telah memfailkan Perintah 14A (penghakiman terus). Mahkamah akan membuat keputusan sama ada kenyataan yang dibuat oleh pihak defendan adalah fitnah atau tidak. Kami membuat permohonan ini dengan alasan fakta yang sudah dinyatakan dalam afidavit.
“Hakim ada budi bicara untuk menentukan sama ada kenyataan defendan pertama (Rewcastle Brown) yang disiarkan defendan kedua (pencetak Vinlin Sdn Bhd) dan defendan ketiga (penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin) mempunyai unsur fitnah.
“Jika permohonan ini dibenarkan, plaintif (Sultanah Nur Zahirah) tidak perlu memberikan keterangan dalam perbicaraan dan beban pembuktian terletak kepada defendan untuk memberikan pembelaan dan sama ada pembelaan itu dibenarkan atau tidak,” katanya.
Tambah beliau, pihak defendan telah memfailkan jawapan terhadap permohonannya pada 24 Mei dan pihaknya akan membalas pada 12 Jun ini.
“Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun sebagai pengurusan kes, di mana hakim akan memberi arahan untuk kita memfailkan serahan bagi perkara in, Selepas itu akan ada tarikh bagi keputusan,” katanya.
Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman itu pada 21 Nov tahun lepas dengan menamakan Rewcastle Brown atau nama sebenar Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown mengeluarkan kenyataan dalam buku itu sekitar Ogos tahun lepas dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin Press.
Dakwa Sultanah Nur Zahirah, kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low, atau nama sebenar Low Taek Jho, bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu adalah fitnah kerana plaintif tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu memalukan serta menjatuhkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat.
Sultanah Nur Zahirah bertitah adalah suatu fakta diketahui umum bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini dikenali sebagai TIA.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.
Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.
Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak mencadangkan plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan dalam urusan 1MDB. – MalaysiaGazette