KUALA LUMPUR – Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) melantik PriceWaterhouse Coopers (PwC) untuk mengaudit perbelanjaan operasi dan transaksi perolehi yayasan itu bagi tempoh 1 Januari 2017 hingga 31 Ogos 2018.
Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, dapatan daripada audit itu dapat dirumuskan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian secara khusus.
Katanya, perhatian itu melibatkan penambahbaikan secara lebih menyeluruh terhadap tadbir urus dan amalan terbaik dalam industri berkaitan semua aspek pentadbiran, pelaburan dan perbelanjaan.
“Pelaksanaan perancangan strategik yang berkesan juga amat perlu bagi meingkatkan prestasi subsidiari dan pelaburan hartanah Yapeim.
“Selain itu, terdapat keperluan penambahbaikan terhadap polisi dan prosedur merangkumi aspek agihan Tabung Amanah, pelaburan dan perolehan,” katanya pada sidang media berkenaan hala tuju baharu Yapeim di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut beliau, perubahan struktur organisasi menyeluruh telah dilaksanakan untuk memastikan keberkesanan fungsi tadbir urus dan audit.
Unit Khas Audit Dalam juga, katanya, ditubuhkan untuk melaksanakan kajian lanjut beberapa kes seperti yang dibangkitkan dalam laporan audit PwC.
Namun, katanya, Polisi Pendedahan Maklumat dan Salah Laku juga digubal untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat salah laku untuk tampil ke hadapan membawa bukti dengan jaminan pemberi maklumat akan dilindungi.
“Merujuk prestasi kewangan bagi tahun 2018, menunjukkan jumlah aset dan rizab keseluruhan Yapeim berjumlah RM1.44 bilion, manakala Aset Ketara Bersih tahun sama berjumlah RM241 juta.
“Secara umumnya, kedudukan kewangan Yapeim berada pada landasan yang baik dengan pertumbuhan berasaskan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun bagi tempoh lima tahun iaitu 2014 higga 2018 sebanyak 11.69 peratus.
“Manakala pendapatan bagi tahun 2018 yang diperolehi adalah RM57.33 juta dengan lebihan pendapatan berjumlah RM13.5 juta, dan margin lebihan pendapatan pula pada kadar 22.92 peratus,” katanya.
Beliau menjelaskan, berdasarkan prestasi suku pertama 2019 iaitu Januari hingga Mac lalu, jumlah pendapatan operasi sebanyak RM14.68 juta.
“Jika prestasi ini berterusan sehingga Disember 2019, dijangka pendapatan operasi akan mencatatkan jumlah RM58.71 juta, meningkat sebanyak dua peratus berbanding pendapatan operasi 2018,” katanya. – MalaysiaGazette