KUALA LUMPUR- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merancang untuk membuka sebuah pasar raya besar bagi memasarkan produk keluaran ahli-ahlinya dalam tempoh dua tahun akan datang
Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman berkata, agensi tersebut telah memiliki sebidang tanah di Skudai, Johor untuk tujuan pembangunan projek berkenaan dan ketika ini sedang menyiapkan kertas cadangan konsep pasaraya tersebut.
“Kami mahu menjadikannya sebagai sebuah platform untuk memasarkan produk-produk kami bukan sahaja untuk pasaran domestik malah antarabangsa.
“Ia juga akan dijadikan gedung digital bagi memasarkan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Peladang 2019 di sini hari ini.
Menurut Mazlan, LPP ketika ini dalam usaha untuk menggalakkan para usahawan di bawah kendalian mereka untuk memenuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) supaya mudah untuk mendapatkan akses pasaran terutamanya di peringkat global.
Katanya, setakat ini kurang 200 jenis berbanding ribuan produk yang dikeluarkan oleh usahawan LPP memiliki pengiktirafan GMP dan MeSTI.
“Kami memberi galakan dan akan membantu usahawan-usahawan ini untuk mendapatkan pengiktirafan yang diperlukan bagi memudahkan akses pasaran.
“Setakat ini tidak ada masalah cuma ada beberapa isu kecil sahaja.
“Dalam tempoh dua tahun lagi, saya yakin semua produk tersebut telah bersedia untuk dipasarkan dan dalam masa yang sama dapat memenuhi keperluan pasaraya besar yang bakal dibuka oleh LPP nanti,” katanya lagi.- MalaysiaGazette