KUALA LUMPUR – Kecewa dengan tindakan kerajaan yang sepatutnya membantu dua aktivis yang bertindak membela orang miskin, sebaliknya mereka masih berhadapan dengan kes menghalang penjawat awam daripada menjalan tugas.
Begitu luahan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan kepada MalaysiaGazette apabila dua orang anggota parti itu berhadapan dengan tuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Georgetown.
Kata Arutchelvan, kedua-dua mereka, R. Kartiges dan M Munusamy telah ditangkap pada Jun 2018 ketika cuba mempertahankan rumah Mahathir Hajah Mydeen di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak, Pulau Pinang daripada diusir pihak berkuasa.
“Suasana ketika itu sangat tegang ketika cubaan pihak berkuasa melakukan pengusiran tersebut apatah lagi pada masa itu bulan Ramadan, ahli kami cuba berdialog dan bercakap dengan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun secara tiba-tiba pihak polis bertindak menangkap mereka dan kini berhadapan dengan situasi ini sejak lebih setahun lepas. Sebenarnya, tidak logik gunakan akta ini apatah lagi kedua-dua aktivis kami bukan guna kekerasan.
“Pendakwaan terhadap mereka masih diteruskan walaupun isu ini sudah selesai setelah mendapat campur tangan daripada Exco Kerajaan Negeri, Jagdeep Singh Deo yang telah menawarkan rumah alternatif kepada keluarga yang diusir itu. Isu telah selesai lagi-lagi aktivis seperti mereka turut membantu menyuarakan hak.
“Peliknya kes ini tidak digugurkan sebaliknya diteruskan walaupun kita telah menghantar memorandum kepada Peguam Negara sendiri dengan memberi perincian jelas berhubung perkara ini.
“Sepatutnya dua aktivis ini dijunjung kerana telah membantu berjuang untuk golongan B40 daripada pengusiran selain berjaya mencapai penyelesaian yang baik. Pelik sekali kes ini, pendakwaan ini tidak berasas dan mengejutkan, ” katanya menyerahkan memorandum kali kedua di pejabat Peguam Negara hari ini.
Sejak November 2018, PSM membantu keluarga terjejas di PPR milik kerajaan di Rifle Range, Air Itam, untuk terus tinggal di sana walaupun mereka diberikan notis mengosongkan kediaman masing-masing kerana tidak memenuhi kelayakan minimum.
Pada 6 Jun 2018, Karthiges mengetuai bantahan di lobi Komtar dengan kira-kira 30 penduduk flat itu berkhemah dengan membawa bantal dan selimut selepas mereka dipaksa keluar dari rumah di Rifle Range.
Kejadian ini juga mendapat liputan besar dari media selain reaksi masyarakat umumi.
Jelas Arutchelvan, tidak gah jika hanya bercakap tentang keadilan dan ‘rule of law’ seandainya itu tidak menjadi amalan semata-mata.
“Kedua-dua aktivis bukanlah penjenayah sehingga perlu diperlakukan seperti ini, mereka bukan lakukan sesuatu yang memudaratkan masyarakat atau kerajaan. Tidak ada sesiapun yang cedera mahupun harta benda dimusnahkan atau berlakunya ketegangan kaum.
“Mereka lakukan inisiatif yang bertamadun dengan menyerahkan memorandum pada Disember 2017 dan sekali lagi pada 1 Jun 2018 bagi mencari penyelesaian.
“Dalam keadaan kerajaan mampu menggugurkan tuduhan ke atas Siti Aisyah dan Doan Thi Huong yang dituduh membunuh Kim Jong-nam abang tiri pemimpin Kim Jong-un, untuk buat perbandingan sekalipun kes ini tidak layak dan kecil sekali.
“Tetapi jika mereka boleh lepaskan mereka, mengapa kedua-dua aktivis seperti ini kamu mahu kenakan hukuman? Adakah ini adil? Walaupun sudah menghantar permohonan kepada Peguam Negara, kita tidak mendapat maklum balas.
“Saya mohon gugurkan sahaja kes yang tidak berasas seperti ini, fokus kepada apa yang lebih penting seperti membina rumah untuk rakyat miskin, saya mohon AG buatlah sesuatu dalam perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette