KUALA LUMPUR – Kira-kira tiga juta pengguna yang mendaftar di bawah program My Smart Shopper (MSS) kini berpeluang untuk membeli pelbagai barangan dalam talian dengan menebus ganjaran tunai (cash points) di laman sesawang e-dagang asiastreetmarket.com (ASM).

Kemudahan tersebut terhasil apabila I Synergy International (M) Sdn Bhd (ISI) yang mengendalikan program MSS menandatandangani memorandum persefahaman bersama (MoU) dengan ASM bagi membolehkan pengguna berdaftar di seluruh negara itu menikmati kemudahan baharu tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif ISI, Lennon Chu berkata, kemudahan itu merupakan satu lagi nilai tambah kepada program MSS yang sebelum ini penebusan ganjaran tunai hanya terhad di lebih daripada 2000 premis antaranya Jamu Mak Dara dan pelbagai sektor perniagaan di seluruh negara.

“MoU ini juga menjadikan MSS sebagai cara kehidupan yang lebih selesa kerana dengan satu aplikasi kini orang ramai menjadi pengguna bijak berbelanja apabila bakal mendapat ganjaran tunai dan mata ganjaran apabila membeli di ASM.

“Sebagai tambahan, ahli MSS juga berpeluang menggunakan ganjaran tunai untuk menebus produk yang ditawarkan oleh ASM,’’ katanya.

ISI adalah platform yang menguruskan pemasaran afiliasi yang terbesar di Asia Tenggara.

My Smart Shopper pula menawarkan ganjaran tunai dan mata ganjaran kepada ahli yang mendaftar serta membantu para peniaga merungkai cabaran pemasaran yang kosnya semakin meningkat setiap tahun.

ASM yang ditubuhkan oleh syarikat tempatan kini menawarkan lebih daripada 100,000 produk dengan diskaun sehingga 80 peratus untuk direbut.

Lennon menyatakan demikian selepas mewakili ISI menandatangani MoU tersebut dengan ASM yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, yang juga pengasas bersama, Muhamad Fitri Muhamat Sakari.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Pengurus Besar ISI, Ong Poh Seng dan pengasas bersama ASM, Muhammad Kamarulariffin Ahmad.

Lennon yakin hasil kerjasama kedua-dua pihak, bilangan pengguna di MSS akan terus bertambah sekali gus mempercepatkan matlamat ISI untuk menjadikan proram MSS sebagai rakan membeli belah pilihan utama rakyat Malaysia.

Sementara itu, Muhamad Fitri, melahirkan rasa bangga kerana pelawaan untuk kerjasama disambut dengan mesra oleh pihak pengurusan tertinggi ISI.

“ASM adalah e-dagang yang sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dan MoU dengan ISI merupakan permulaan dalam usaha membantu lebih ramai peniaga berjaya dalam pemasaran digital,’’ katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast