PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan semua dewan orang ramai yang terletak di sekitar ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu adalah bagi menentukan tidak ada mana-mana pihak menggunakan dewan berkenaan seolah-olah milik mereka sendiri.
Menurutnya, pada masa ini sebanyak 157 dewan orang ramai telahpun dikembalikan kepada DBKL oleh pengurusnya manakala 46 lagi masih berdegil.
“Sejak kita keluarkan arahan itu untuk ambil alih, daripada 203, 157 pengurus dewan telah setuju untuk pulang balik dewan itu kepada DBKL, dan 46 unit lagi pengurusnya enggan menyerahkan.
“Bila kita ambil alih dewan-dewan ini tiada kepentingan politik dan lebih neutral dan kalau ada hasil dia akan pergi kepada JMB atau persatuan penduduk dan bukan kepada kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Khalid memberitahu, pihaknya mengenalpasti berlaku penyalahgunaan harta awam membabitkan dewan orang ramai berkenaan apabila ada pihak yang meraih untung dengan mengutip hasil daripada penggunaan dewan tersebut.
Katanya, semua itu berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu dan ia berkemungkinan terjadi sejak 30 tahun lalu.
Khalid menyeru kepada 46 kumpulan pengurus dewan terbabit yang sebenarnya mengurus dewan berkenaan tanpa ada kebenaran rasmi daripada DBKL sendiri atau mana-mana pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan itu.
Tambah beliau, notis terakhir berkenaan perkara itu akan dihantar kepada 46 kumpulan terbabit selepas hari raya Aidilfitri dan beliau berharap agar tidak perlu DBKL mengambil tindakan yang ekstrim kepada mereka yang terlibat kerana ia merupakan kepentingan awam.
Bagaimanapun tegas beliau, sekiranya pihak terbabit masih enggan berbuat demikian, maka DBKL akan menggunakan haknya mengikut saluran undang-undang dengan mengambil tindakan mahkamah.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Khalid menyatakan sebuah jawatankuasa melibatkan pelantikan enam Ahli Parlimen di Wilayah Persekutaun Kuala Lumour ditubuh bagi membentuk portfolio untuk membantu Majlis Menteri dalam menjalankan tugas.
Katanya, pelantikan itu bertujuan membantu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL menjalankan fungsi-fungsi yang disebut dalam portfolio itu.
Enam ahli Parlimen berkenaan berserta portfolio yang diberikan iaitu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memegang portfoli pendidikan; ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun – pelancongan; Ahli Parlimen Batu, Prabakaran – Belia dan Sukan; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng – Trafik dan Infra serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil – Sosial dan pembangunan ekonomi.
Jelasnya, kebanyakan portfolio itu akan dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan beliau sendiri akan mempengerusikan portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya manakala Timbalan Menteri, Dr Shahrudin Mohd Salleh akan mempengerusikan portfolio Sosial dan Pembangunan Ekonomi. – MalaysiaGazette