Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Pendakwaraya Amerika Syarikat (AS) merancang menjual dua buah kondominium mewah di New York yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho, dedah dokumen mahkamah yang merupakan usaha terbaharu untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Low, yang juga dikenali dengan panggilan Jho Low, telah didakwa di Malaysia dan AS kerana disyaki peranan beliau dalam kecurian dana 1MDB berjumlah kira-kira AS$4.5 bilion.

Low menafikan sebarang salah laku dan lokasi keberadaan beliau tidak diketahui.

Sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan saman penyitaan aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan menggunakan dana 1MDB yang dicuri, termasuk sebuah pesawat peribadi, hartanah dan barangan kemas mewah.

Pada bulan ini, AS mula memulangkan RM$200 juta yang diperoleh daripada penjualan aset yang dirampas.

Pada Rabu lalu, pendakwaraya AS dan syarikat induk kepada dua apartmen di New York meminta mahkamah California membenarkan prosiding penyitaan bagi membolehkan hartanah tersebut dijual, lapor Reuters.

Hartanah yang berupa penthouse di Time Warner Center bernilai AS$31 juta didakwa dibeli Low pada 2011 dan kondominium bernilai AS$14 juta di kejiranan Manhattan dibeli pada 2014.

Jurucakap Low berkata, pelanggannya ‘sedar kejayaan dua perjanjian rundingan yang berjaya dengan kerajaan AS’.

“Kolaborasi berterusan adalah penting dalam usaha melindungi nilai kedua-dua aset dan hak perundangan pihak yang terlibat,” kata jurucakap itu dalam kenyataan.

Pada bulan ini, Pendakwaraya AS memohon untuk menjual rumah agam bernilai AS$39 juta di Los Angeles yang didakwa dibeli daripada wang 1MDB.

Sekurang-kurangnya pihak berkuasa di enam negara sedang menyiasat pengubahan wang haram dan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB yang ditubuhkan pada 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum tahun lalu kini berhadapan dengan lebih 40 pertuduhan jenayah berhubung kerugian 1MDB dan entiti kerajaan lain. Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku. – Agensi