Kamarudin Jaffar. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Tambang penerbangan domestik bagi musim perayaan Aidilfitri kali ini secara keseluruhan lebih murah berbanding tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, ia berikutan kebanyakan tambang penerbangan domestik pada musim perayaan tahun ini lebih murah berbanding sebelum ini.

Kamarudin, bagaimanapun. tidak menafikan masih ada harga tambang penerbangan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, melibatkan laluan Kuala Lumpur-Sandakan dan Kuala Lumpur-Tawau.

“Dalam perbincangan dengan menteri-menteri (Kabinet), maklumat kita dapati hanya dua laluan tersebut yang tambang tinggi.

“Kita dah minta MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) selidiki lagi kenapa dua laluan ini sahaja tinggi. Pada masa ini kita masih menunggu kajian (dapatan) daripada MAVCOM berkenaan hal itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Edaran Pek Hari Raya dan Berbuka Puasa di Stesen Sentral Kuala Lumpur, malam ini.

Isu harga tiket penerbangan domestik dan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit tular di media sosial baru-baru ini, apabila ada melahirkan rasa tidak puas hati terhadap peningkatan tambang penerbangan itu.

Terdahulu, Kamarudin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Shamsudin mengedarkan 1,000 pek Hari Raya kepada penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Stesen Sentral ke Padang Besar dan penumpang komuter laluan ke Pelabuhan Klang.

Mohd Rani Hisham berkata setakat ini, 407,502 tiket ditawarkan KTMB telah dijual bagi tempoh perjalanan musim perayaan antara 1 Mei dan 16 Jun, dengan pihaknya menawarkan keseluruhan 564,740 tiket kepada penumpang untuk tempoh tersebut. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast