KUALA LUMPUR – Bekas pemain Kedah, Fazliata Taib dilaporkan hilang hampir dua bulan menghilangkan diri dan gagal dikesan keluarganya sejak pertengahan April lalu.
Menurut perkongsian di laman Facebook salah seorang rakannya, Muhamad Ihsan, keluarga pemain yang mesra disapa dengan panggilan ustaz itu telah sedaya upaya mencarinya.
“Bagi pihak keluarga beliau, mereka telah sedaya upaya mencari sehingga ke hari ini dan juga laporan polis telah dibuat.
“Mengharapkan, mendoakan kesejahteraan beliau dalam keadaan sihat dan baik. Jika ada ternampak atau bertemu dengan beliau, mohon memaklumkan kepada pihak berkuasa,” tambahnya memetik kenyataan di laman Facebook rakannya itu.
Laporan polis dibuat oleh keluarga Fazliata Taib pada 12 April lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu didapati telah keluar daripada rumahnya pukul 9 pagi pagi menaiki kereta jenis Nissan Navara.
Kali terakhir Fazliata beraksi bersama pasukan FELCRA FC pada musim lalu dalam saingan Liga Perdana.
Dia merupakan antara pemain ‘Double Treble’ Kedah pada musim 2007 dan 2008. – MalaysiaGazette