KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara menafikan ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho yang kini dalam pelarian berjaya ditangkap.
Dalam satu mesej kepada media hari ini, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya masih berusaha untuk memberkas lelaki yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Jho Low merupakan individu utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kami sedang berusaha ke arah itu tetapi tiada apa yang telah dimuktamadkan.
“Mesej itu tidak betul,” katanya sebentar tadi.
Berita mengenai penahanan Jho Low tersebar hari ini selepas kerajaan China dikatakan sudah menangkapnya dan akan dibawa pulang ke Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Khamis lalu, Hamid membayangkan akan dapat menangkap Jho Low dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Abdul Hamid berkata, polis mempunyai “petunjuk baharu” berkenaan lokasi Jho Low – yang gagal dikesan sejak 2015 – dan akan membawanya pulang “tidak lama lagi”. -MalaysiaGazette