LONDON – Penyerang sensasi, Sadio Mane mendedahkan dia begitu hampir untuk menyertai Manchester United sebelum memilih Liverpool sebagai destinasi seterusnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mane menyertai Southampton daripada Red Bull Salzburg pada September 2014 dan menjadi antara tunjang kepada kekuatan The Saints pada musim 2014/15 dan 2015/16.
Kualiti yang cukup baik dimiliki pemain skuad kebangsaan Senegal ini telah menarik minat kelab utama EPL termasuk Manchester United dan Liverpool.
United yang ketika itu dibimbing Louis Van Gaal telah menyasarkan membawa Mane ke Old Trafford.
Bagaimanapun, Van Gaal kecewa apabila Jurgen Klopp menjadi watak penting yang bertanggungjawab ‘merampas’ pemain jentera serangan berusia 27 itu.
”Saya memang sangat-sangat hampir (menyertai Manchester United) kerana saya sudah berjumpa dengan mereka,” katanya.
Keputusan yang diambil Mane itu jelas satu langkah tepat apabila Liverpool semakin meningkatkan prestasi ketika di bawah bimbingan Klopp.
Mane juga ketika ini sedang menikmati karier hebat di Anfield dengan meraih kejayaan peribadi setelah muncul penjaring terbanyak EPL musim ini bersama rakan sepasukam, Mohamed Salah dan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dengan 22 gol. – MalaysiaGazette