WARSAW – Penyerang muda, Erling Braut Haaland menjaringkan sembilan gol ketika membantu Norway membelasah Honduras 12-0 pada pertandingan Piala Dunia Bawah 20, yang sedang rancak berlangsung di Poland.
Kemenangan dengan jaringan 12 gol ini merupakan rekod baharu kejohanan dan merupakan rekod jaringan tertinggi oleh seorang pemain dalam satu perlawanan.
Rekod sebelum ini dipegang oleh Adailton Martin yang menjaringkan enam gol untuk membantu Brazil membelasah Korea Selatan 10-3 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sarawak, Kuching ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
Haaland adalah anak kepada bekas pemain tengah Norway, Alf-Inge Haaland membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh perlawanan dan melengkapkan sembilan jaringan pada masa kecederaan.
Dalam dua perlawanan terdahulu, Haaland gagal menemui sentuhan penyudah yang diperlukan untuk Norway.
Kemenangan ini menyaksikan Norway menduduki tangga ketiga Kumpulan C manakala Honduras berada di kedudukan tercorot.
Hanya dua pasukan dari setiap kumpulan akan layak ke pusingan berikut secara automatik. – MalaysiaGazette