KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack boleh melepaskan jawatannya selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk meneruskan operasi kilang memproses nadir bumi milik Lynas Corp.
Ini kerana, kerajaan sudah gagal memenuhi aspirasi rakyat apabila membenarkan terus beroperasi.
Timbalan Pengerusi Biro Publisiti, Datuk Leong Kim Soon berkata, Wong tidak ada pilihan lain kecuali terus berjuang mengikut pendiriannya sehingga kerajaan menutup Lynas atau bersedia dengan surat peletakan jawatannya.
Beliau mendakwa, Wong telah memilih untuk memanipulasi kata-katanya daripada menjadi seorang ahli politik yang bertangggungjawab dan menjawab kepada kumpulan aalam sekitar dan rakyat yang menyokongnya sebelum ini.
Kim Soon berkata, semasa menjadi pembangkang, PH khususnya Wong tanpa penat membangkit isu Lynas dan nadir bumi.
Wong mengetuai DAP, lengkap dengan slogan dan kain rentang mengepung Lynas, sambil mendakwa kesan buruk Lynas terhadap alam sekitar.
Bukan setakat berikrar untuk menutup Lynas, malah Wong mahu membakar Lynas jika kilang itu tidak ditutup
Namun, apabila PH mengambil alih di Putrajaya, menteri Kabinet DAP melakukan pusingan 180 darjah dengan memuji Lynas sebagai penarik pelaburan ke negara ini.
“Adakah kerajaan fikir rakyat cukup bodoh untuk ditipu oleh golongan politik ini?,” soal Kim Soon sambil berkata Wong patut berasa malu kerana menderhakai prinsip dan integritinya.
Wong semalam berkata, akan terus berada dalam kerajaan tetapi kekal menentang kilang Lynas.
Aktivis yang menjadi ahli politik itu memberitahu, kurang sebulan lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sisa radioaktif Lynas mesti dikeluarkan.
“Sekarang, Dr Mahathir mengatakan kita perlu memperbaharui lesen tetapi mesti dengan syarat-syarat yang ketat bahawa sisa radioaktif dihantar,” kata Wong.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana pembaharuan lesen diberikan kepada pengendali yang gagal mematuhi undang-undang negara.
“Kami memegang kepada kedaulatan undang-undang, jadi tiada siapa yang boleh mengatasinya,” tambah Wong. – MalaysiaGazette