Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Terkejut dengan keadaan kedaifan kuaters polis sebagai kediaman penjawat awam, Ahli Parlimen Iskandar Putri memohon kerajaan segera menanganinya pada kadar segera.

Malah Penasihat DAP itu ketika melakukan lawatan di sekitar kediaman anggota polis di Johor Bharu baru-baru ini terkejut dengan keadaan serba kekurangan dilalui oleh anggota-anggota keselamatan negara ini.

Kata beliau dalam tulisan di blognya hari ini mendesak kerajaan untuk mengkaji kenaikan elaun perumahan anggota polis di Johor Bahru dan bandar-bandar utama di Malaysia.

Jelas Kit Siang, kadar pasaran ketika ini dengan mengambil contoh negeri Johor, ianya adalah tiga kali ganda berbanding dengan elaun yang diberikan kepada anggota polis pada masa ini.

“Saya beri contoh di Johor Bharu sahaja ketika ini kadar pasaran perumahan adalah sebanyak tiga kali ganda elaun perumahan polis sedia ada.

“Tidak cukup dengan itu, kita juga kekurangan perumahan polis yang mencukupi di Johor Bharu, yang ada pun terlampau daif dan usang. Pastinya memerlukan baik pulih dengan dana berpuluh-puluh juta untuk membaikinya.

“Saya sebenarnya sangat terkejut selepas menyaksikan sendiri keadaan begitu teruk dan daif di kuarters-kuarters ini, saya terasa terpanggil dengan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk diteliti pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di Skudai selain mendengar sendiri taklimat yang diberikan oleh Ketua Polis Daerah (OCPD), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad.

Kit Siang kemudian kembali teringat antara cadangan perumahan khas diberikan kepada anggota yang pernah diutarakan oleh Suruhanjaya Polis DiRaja yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin dan Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

“Saya teringat 11 cadangan yang pernah diutarakan bagi meningkatkan kebajikan pasukan polis 14 tahun dahulu termasuk kenaikan elaun perumahan dan juga penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Peruntukan elaun khas perumahan untuk anggota PDRM termasuk di bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Johor Bharu dan Georgetown yang mempunyai kos sara hidup lebih tinggi dari tempat lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kit Siang menggesa kerajaan untuk segera mengkaji cadangan-cadangan itu selain elaun perumahan, perlu membaiki kuarters kediaman penjawat awam dengan segera.

“Dengan semangat dan era Malaysia Bharu ini, kita perlu berdiri setaraf dengan dunia luar termasuk mempunyai pasukan polis terbaik bertaraf dunia,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast