Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar Sultan Iskandar berkenan berjalan keluar selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2019

KUANTAN -Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 6 Jun ini.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, majlis itu akan berlangsung di Istana Abdulaziz di sini dari 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“Semua rakyat jelata dijemput hadir dengan berpakaian sopan dan kemas yang bersesuai dalam tempoh berkabung.

“Baginda berdua turut berkenan mengambil kesempatan itu untuk mencemar duli bagi mengucapkan selamat hari raya kepada rakyat Pahang dan tetamu jemputan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut hari raya bersama-sama rakyat bagi kali pertama selepas Seri Paduka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lepas.

Beliau berkata tetamu majlis itu dibenarkan meletak kenderaan di tempat letak kereta Galeri KotaSAS dan Kampus Universiti Islam Antarabangsa di sini, bagi melancarkan pergerakan trafik pada hari tersebut.

“Untuk kemudahan tetamu, perkhidmatan bas perantara disediakan di kedua-dua lokasi itu untuk membawa mereka ke Istana Abdulaziz,” katanya. – MalaysiaGazette