Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Pelantikan peguam Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai keputusan drastik dan perlu dalam proses pembaharuan serta reformasi.

Sekretariat penaja Parti Negara (Negara) sebagai sebuah parti yang fokus kepada isu rasuah menganggap pelantikan Pesuruhjaya SPRM yang baharu semalam tentunya menarik perhatian.

Presiden penajanya, Datuk Mohamed Ezam Mohd Noor berkata, pihaknya juga sedia maklum reaksi umum yang terkejut dan menimbulkan banyak persoalan.

Justeru, katanya, Sekretariat parti itu menyifatkan sebagai keputusan positif dalam memantapkan usaha yang perlu dilakukan bagi fasa mereformasi institusi khususnya SPRM.

“Latheefa mempunyai rekod sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip khususnya undang-undang, tegas dan tanpa kompromi.

“Ciri-ciri ini menjadi elemen penting dalam menerajui sebuah badan yang berdepan dengan isu rasuah yang merupakan masalah paling besar dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa Koya adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan itu adalah antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi kerajaan.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Menurut Mohamed Ezam, menjadi harapan pihaknya dan semua yang menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara agar Latheefa Koya mampu membawa SPRM menjadi sebuah badan yang paling berjaya dalam era kerajaan baharu yang melakukan reformasi institusi khususnya dalam aspek rasuah.

Kata beliau, kejayaan memerangi rasuah khususnya perasuah besar yang telah mencuri ratusan bilion wang negara merupakan pra syarat penting jatuh bangun negara ini pada masa akan datang dan Latheefa Koya bersama SPRM tidak boleh gagal dalam melaksanakan misi paling penting itu. – MalaysiaGazette