PERMATANG PAUH – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Anwar berkata keputusan untuk melantik Latheefa itu dibuat oleh Tun Mahathir dan beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu sehingga pengumuman dibuat.
Menurutnya terdapat beberapa isu, seperti Kabinet tidak dimaklumkan, pelantikan tidak selaras dengan Akta SPRM dan soal pelantikan tidak selari dengan janji dalam Manifesto Pakatan Harapan, yang perlu dijelaskan.
“Sudah tentu satu penjelasan diperlukan, kerana perkara ini adalah apa yang kita janjikan, tapi kita perlu melalui forum yang teratur (untuk penjelasan), seperti (mesyuarat) kabinet atau Majlis Kepimpinan Pakatan, jika kita mahu dapatkan penjelasan yang sebenar.
“Manifesto tidak dipatuhi, dan nampak seperti lantikan politik… saya rasa perlu penjelasan diberikan kepada orang ramai berhubung isu itu, mengapa manifesto tidak diberi perhatian, tidak dihormati, walaupun saya rasa Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk kedudukan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Perdana di Masjid Kubang Semang.
Antara yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.
Namun, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata beliau telah bersetuju untuk memberikan masa dan ruang buat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikan itu mengikut platform yang sepatutnya.
“Walau bagaimanapun tanggungjawab kita adalah untuk memastikan keberkesanan pentadbiran kerajaan, kerana kita telah diberikan komitmen bagi menyokong pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Tun Mahathir,” katanya.
“Kita akan memastikan SPRM kekal bebas, dan mereka yang diberikan tanggungjawab itu dilihat sangat profesional dan tidak akan diseret dalam kancah politik dan berpuak, ini adalah kebimbangan yang disuarakan,” katanya.
Tambahnya, PM telah lantik, tetapi beberapa soal harus diperjelaskan seperti soal manifesto dan proses pelantikan itu boleh dibincang secara baik dalam ruang yang ada dalam PH, malah dalam kabinet sendiri.
Sementara itu, Anwar berkata perletakan jawatan Latheefa sebagai Anggota PKR telah diterima oleh parti dan perkara itu tidak menimbul sebarang isu.
Latheefa dilantik sebagai KP SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lepas, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan kontrak perkhidmatan beliau.
— BERNAMA