KUALA LUMPUR – Walaupun siasatan rapi belum selesai, kerajaan negeri Kelantan segera tampil menafikan kematian 12 Orang Asli kerana aktiviti pembalakan.
Sambil menempelak kerajaan negeri, Presiden Parti Bumiputra Perkara, Datuk Ibrahim Ali berkata, seharusnya semua pihak berkepentingan seharusnya mengambil tanggungjawab bersama dalam kejadian serius itu.
Sehingga kini, seramai 12 Orang Asli dari suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan mati secara ‘misteri’ sejak tahun lalu.
Malah rata-rata penduduk setempat percaya sesuatu yang tidak kena dan seolah-olah kini mereka menunggu giliran untuk meninggal di kawasan itu.
Namun terdapat aduan bahawa berlaku keracunan akibat minum air tercemar dari sungai berhampiran yang menyebabkan mangsa kehilangan nyawa.
Malah terdapat aduan yang mengaitkan kematian itu dengan aktiviti pembalakan dan perlombongan bijih timah yang beroperasi berdekatan kampung tanpa mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Menurut Ibrahim, pihak-pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan serta agensi kerajaan lain perlu memikul tanggungjawab dan bukannya dengan mudah membuat penafian tentang kematian tersebut.
“Kita sedang bercakap tentang nyawa Orang Asli, nyawa mereka tidak kurangnya dengan kita malah mereka adalah bumiputera orang asal yang tidak sepatutnya dilayan sebegini rupa. Sudahlah kehidupan mereka sentiasa jauh ketinggalan, kini apa yang berlaku kepada mereka tidak dapat diterima.
“Tolong pandang isu ini sebagai satu kepentingan dan sesuatu yang serius. Kita desak kerajaan tubuh satu jawatankuasa khas dalam masa dua hari di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menyiasat dengan telus punca kejadian ini.
“Jawatankuasa ini perlu terdiri dalam kalangan doktor pakar, pihak keselamatan, pihak perundangan serta tokoh berwibawa termasuk wakil-wakil NGO dan penduduk setempat yang fasih dengan insiden ini.
“Insiden ini perlu di siasat dengan telus, pengadilan perlu bagi mangsa-mangsa dan keluarga mereka. Keadilan ini penting bagi masyarakat orang Asli ini malah kepada yang masih hidup dan tinggal di situ juga perlu diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt. Taufik Maidin hari ini dilapor menafikan dua penduduk Orang Asli yang meninggal dunia di Kampung Kuala Koh pada 29 Mei lepas dan semalam berpunca sakit misteri.
Taufik turut dipetik menafikan dakwaan penduduk Orang Asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit itu memandangkan pihaknya hanya menerima laporan kematian dua orang sahaja setakat ini. –MalaysiaGazette