KUALA LUMPUR – Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak pihak berkuasa menyiasat punca kematian 14 orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.
Ketuanya, Intan Rahmah Ali berkata, jika benar punca kematian mempunyai kaitan dengan sisa buangan lombong besi, pihak berkuasa perlu bertindak.
“Jika benar punca kematian 14 Orang Asli suku Bateq ini akibat sisa buangan lombong besi, Wiranita PUTRA mendesak siasatan segera dilakukan oleh pihak berwajib terhadap aktiviti perlombongan ini.
“Wiranita PUTRA berpendapat pihak berkenaan tidak seharusnya menutup mata dan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasi masalah pencemaran air di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, seramai 14 penduduk orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan dan radang paru-paru atau Pneumonia sejak 2 Mei sehingga Jumaat lalu.
Bagaimanapun hanya dua disahkan mati akibat jangkitan tersebut berdasarkan bedah siasat manakala selebihnya telah dikebumikan di sempadan hutan sempadan Kelantan-Pahang.
Intan Rahmah juga berharap pihak berkuasa tidak mengambil mudah terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat orang Asli kerana mereka juga adalah rakyat negara ini dan berhak mendapat layanan sewajarnya.
“Wiranita PUTRA berharap agensi-agensi berkaitan sama ada dari pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan segera memberi bantuan yang sewajarnya kepada masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette