BEIJING – China mendakwa ‘kuasa asing’ tertentu cuba memburukkan negaranya dengan mencetuskan huru-hara di Hong Kong berhubung cadangan rang undang-undang ekstradisi.
Campur tangan tersebut telah menyebabkan protes besar-besaran di bekas tanah jajahan British itu, kata akhbar rasminya.
Pasukan polis telah mengepung Parlimen Hong Kong selepas protes yang disertai ratusan ribu orang yang berjalan dengan baik pada awalnya bertukar menjadi ganas.
Para penunjuk perasaan dilaporkan bertempur dengan pihak polis.
Terdahulu pada hari Ahad, beratus-ratus ribu penunjuk perasaan telah membanjiri jalan-jalan di sekitar bandar raya Hong Kong untuk membantah rang undang-undang untuk ekstradisi suspek jenayah ke China.
Tindakan itu dibuat selepas warga Hong Kong bimbang peraturan itu meletakkan kebebasan undang-undang negara tersebut dalam keadaan berisiko.
Dalam editorial, China Daily mengatakan bahawa undang-undang itu sangat diperlukan.
“Mana-mana individu yang berfikiran adil akan menganggap rang undang-undang pindaan itu merupakan undang-undang yang sah, praktikal dan munasabah yang akan mengukuhkan kedaulatan undang-undang Hong Kong dan menyampaikan keadilan.
“Malangnya, beberapa penduduk Hong Kong telah ditipu oleh kem pembangkang dan sekutu asing untuk menyokong kempen anti-ekstradisi,” katanya.
Akhbar itu menambah, beberapa penunjuk perasaan di Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) telah dipesongkan mengenai perubahan yang dicadangkan dalam undang-undang, sementara yang lain cuba untuk mempromosikan “agenda politik”.
“Mereka telah gagal untuk menyedari bahawa kem pembangkang menggunakan mereka semata-mata untuk meraih keuntungan politik dengan merosakkan kredibiliti dan reputasi kerajaan SAR, atau beberapa pasukan asing merebut peluang untuk memajukan strategi mereka sendiri untuk menjejaskan China dengan mencipta malapetaka di Hong Kong,” kata akhbar berbahasa Inggeris itu.
Namun, ia tidak mendedahkan kuasa asing yang dimaksudkannya.
Kerajaan asing menyatakan kebimbangan mengenai undang-undang itu, memberi amaran tentang kesan terhadap reputasi Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa.
Kumpulan hak asasi manusia pula berulang kali memetik penggunaan dakwaan penyeksaan, penangkapan sewenang-wenangnya, pengakuan paksa dan masalah mengakses peguam di China. – MalaysiaGazette