GUA MUSANG – Kementerian Kesihatan berdepan kesukaran untuk menjejaki dan mendapatkan 12 mayat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang meninggal dunia akibat jangkitan pada saluran pernafasan yang menjejaskan kesihatan komuniti itu sejak Mei lalu.
Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana pasukan perubatan tidak dapat menjejaki lokasi spesifik mayat-mayat tersebut dikebumikan.
“Setakat ini dua bedah siasat terhadap mangsa yang meninggal dunia telah dilaksanakan di hospital ini dan tidak ada masalah untuk bedah siasat kesemua yang mati dan memang wujud keperluan juga.
“Cuma polis dan pihak kami tak pasti di mana mereka tanam orang yang mati itu kerana mereka telah berpindah meninggalkan penempatan ekoran penularan penyakit tersebut hingga sukar untuk menjejakinya.
“Kita tidak tahu lokasi spesifik mereka simpan dan tanam mayat mereka yang meninggal dunia untuk membolehkan kita gali semula dan melakukan bedah siasat yang mungkin memberi kita penyelesaian punca jangkitan penyakit ini,” katanya dalam sidang media khas selepas melawat dan mendengar taklimat bersama pegawai dan kakitangan Hospital Gua Musang, Kelantan di sini.
Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang bertanggungjawab atas hal ehwal komuniti Orang Asli.
Tambah Dzulkefly, setakat ini seramai 185 orang penduduk dan 39 keluarga Orang Asli tinggal di perkampungan Kuala Koh itu.
“Malangnya 99 orang atau 53.5 peratus daripada jumlah itu terjejas akibat jangkitan sesak pernafasan dan ini perlu diambil serius serta ditangani segera dengan langkah-langkah pencegahan yang perlu,” katanya lagi.
Menurutnya, penyakit ini didapati menular dalam radius 3 kilometer dalam perkampungan Orang Asli itu.
Dalam pada itu, Waytha Moorthy berkata, sebahagian penduduk perkampungan itu terdedah dengan simptom kesukaran bernafas.
Disebabkan penularan penyakit itu, komuniti Orang Asli di kampung tersebut berpindah antara kawasan Kelantan hingga Jerantut.
Ini kerana, masyarakat Orang Asli tidak akan menduduki penempatan jika ada dalam kalangan mereka mengalami kesakitan dan meninggal dunia.
“Komuniti yang ada sekarang ini memaklumkan seramai 14 Orang Asli telah meninggal dunia setakat ini. Malah, mereka turut memberi senarai mangsa yang meninggal dunia,” katanya.
Menteri Kesihatan juga mengesahkan sampel air dari kawasan bekas lombong sudah diambil sambil menyangkal laporan asal kematian Orang Asli di Perkampungan Koh itu berpunca daripada tibi.
Menurutnya, KKM menunggu keputusan sampel air yang diambil untuk mengenal pasti mikro organisme dari kawasan bekas perlombongan dalam kampung itu.
Buat masa ini, penduduk kampung itu dikuarantin dan dihadkan pergerakan mereka sebagai langkah-langkah pencegahan.
“Berdasarkan paten yang diperolehi pasukan kesihatan negeri, fokus diberi kepada jangkitan yang menjejaskan pernafasan, oleh kerana ia cepat merebak kita mahu mengehadkan pergerakan aktiviti Ornag Asli supaya ia tidak merebak dan terdedah kepada orang lain.
“Anggota kesihatan kita kalau nak masuk sana pun diminta supaya memakai peralatan lengkap dan orang luar dilarang berkunjung ke kawasan itu buat masa ini,” ujar beliau.
Ditanya kes baharu hari ini, Dzulkefly berkata, setakat ini 49 Orang Asli dirawat dalam wad hospital manakala seorang lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Manakala 47 orang lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Beliau turut menyifatkan jangkitan penyakit itu sebagai normal dan tahap daya tahan penyakit dan imunisasi yang dimiliki Orang Asli adalah memuaskan.
Namun, mereka akan terus dipantau dari segi makanan dan sebagainya untuk mengelak jangkitan terus berlaku.- MalaysiaGazette