Beberapa klinik swasta di Alor Setar, Kedah tidak beroperasi hari ini kerana doktor lancar mogok.
Beberapa klinik swasta di Alor Setar, Kedah tidak beroperasi hari ini kerana doktor lancar mogok.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan doktor klinik swasta hari ini melancarkan “mogok” dengan menutup premis masing-masing sebagai bantahan terhadap kerajaan yang tidak melayan permintaan mereka untuk menaikkan kadar yuran rawatan.

Menurut mereka, yuran konsultasi sebanyak RM10 diperkenalkan sejak 27 tahun lalu dan kali ini mereka meminta agar kerajaan meluluskan permintaan agar dinaikkan kepada kadar baharu, iaitu RM35.

Mereka akan membawa keluhan itu kepada Menteri Kesihatan dalam perjumpaan di Putrajaya petang ini dan pada masa sama Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad mengesahkan sesi “town hall” itu akan berlangsung pada jam 2 petang.

“Bantahan kita berpaksi kepada keengganan Kabinet menaikkan yuran konsultasi daripada RM10 kepada RM35.

“Kenaikan ini kita sifatkan amat kecil berbanding kadar RM35 sehingga RM125 yang dikenakan hospital swasta,” kata mereka dalam kenyataan yang dipetik menerusi portal atas talian Free Malaysia Today hari ini.

“Mogok” sehari oleh doktor swasta bermakna mereka akan menutup klinik hari ini untuk menghadiri perjumpaan dengan Dr. Dzulkefly dan tidak akan mengupah doktor pengganti seperti lazimnya.

Notis menggesa klinik swasta menyertai bantahan itu tular di media sosial.

Laman web Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial memetik Dr. Yek Sing Chee dari Ipoh sebagai berkata, beliau memberikan notis awal kepada pesakitnya mengenai penutupan klinik hari ini.

Beliau bercadang menghadiri sesi “town hall” dengan Dr. Dzulkefly bersama puluhan doktor lain dari Ipoh yang senasib dengannya.

“Kami mahu menyuarakan rasa kesal kami terhadap Kementerian Kesihatan yang berlaku tidak adil terhadap pengamal perubatan seperti kami,” kata beliau.

Di Alor Setar, Dr. Tan Poh Teng dipetik berkata, beliau tidak akan menghadiri perjumpaan itu, namun akan menutup kliniknya untuk membantah kadar rendah bayaran konsultasi yang dibenarkan kerajaan.

Tan berkata, klinik swasta menanggung kos pengurusan tinggi dengan gaji pembantu klinik naik 3 kali ganda dalam tempoh 20 tahun, iaitu RM300 kepada RM1,200 sebulan.

Kos insurans untuk pengamal perubatan dan membuang sisa perubatan juga melambung, kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast