REPUBLIK CZECH – Republik Czech mengatasi Montenegro 3-0 di babak kedua untuk kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen kelayakan Euro 2020.
Kemenangan itu turut dibantu menerusi gol sendiri dan sepakan penalti di babak kedua perlawanan yang berlangsung awal pagi hari ini.
Kemenangan itu melonjak Czech ke tangga kedua pada enam mata, menyamai pendahulu Kumpulan A England yang menewaskan mereka 5-0 di Wembley pada perlawanan pembukaan dan bermain kurang satu perlawanan.
Kosovo di tangga ketiga dengan lima mata selepas merakam kemenangan pertama pada aksi kelayakan ketika bangkit menewaskan Bulgaria 3-2 hasil jaringan pemain gantian Elba Rashani dalam masa kecederaan.
Dalam perlawanan di Madrid, Sepanyol meraih kemenangan ke atas Sweden 3-0 hasil jaringan yang disempurnakan Sergio Ramos dan Alvaro Morata sekaligus mengekalkan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Euro 2020.
Sepanyol bergelut menembusi tembok pertahanan Sweden di Santiago Bernabeu sehinggalah Ramos memecah kebuntuan pada minit ke-64 selepas Sebastian Larsson menahan hantaran lintang Marco Asensio dengan tangan.
Dua gol pantas di akhir permainan hadir menerusi sepakan penalti Morata sebelum Mikel Oyarzabal meledak gol ketiga.
Kemenangan itu mengekalkan Sepanyol di puncak Kumpulan F, lima mata di depan Sweden yang menduduki tangga kedua, dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan.
Sementara itu, dalam perlawanan di Dublin, Ireland dibantu gol sendiri Joseph Chipolina dan tandukan pemain gantian, Robbie Brady pada masa tambahan untuk kemenangan 2-0 ke atas Gibraltar pada perlawanan Kumpulan D kelayakan Euro 2020i.
Ireland yang mengekalkan rekod tanpa kalah dan mendahului kumpulan, mendominasi permainan tetapi menghadapi kesukaran untuk menjaringkan gol di Stadium Aviva.
Penyerangnya David McGoldrick sering menyukarkan pertahanan lawan dan rembatannya pada minit ke-27 menyebabkan Chipolina tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol pertama Ireland.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun mencipta banyak peluang dengan McGoldrick hampir menjaringkan gol kedua namun terkena tiang, sebelum Brady menanduk masuk gol kedua sejurus sebelum wisel penamat dibunyikan.
Ireland kini mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan dengan Denmark di tangga kedua pada lima mata selepas tiga perlawanan. Switzerland yang menamatkan saingan di tempat keempat Liga Negara-Negara, di tangga ketiga pada empat mata selepas dua perlawanan.
Berikut keputusan kelayakan Euro 2020:
Kumpulan A
Rep Czech 3 – 0 Montenegro
Bulgaria 2 – 3 Kosovo
Kumpulan B
Ukraine 1 – 0 Luxembourg
Serbia 4 – 1 Lithuania
Kumpulan D
Rep Ireland 2 – 0 Gibraltar
Denmark 5 – 1 Georgia
Kumpulan F
Sepanyol 3 – 0 Sweden
Malta 0 – 4 Romania
Faroe Islands 0 – 2 Norway
Kumpulan G
Poland 4 – 0 Israel
Latvia 0 – 5 Slovenia
North Macedonia 1 – 4 Austria
– MalaysiaGazette