PUTRAJAYA – Seramai tiga lagi Orang Asli perkampungan Kuala Koh, Gua Musang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana jangkitan pada saluran pernafasan.
Perkara itu diberitahu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad apabila memaklumkan, kesemua mereka dirawat di ICU Hospital Kuala Krai sejak semalam.
Menurutnya, sebelum ini hanya seorang sahaja Orang Asli suku Batek dari perkampungan itu yang menerima rawatan di unit tersebut dan ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu.
Katanya, pada masa ini seramai 99 Orang Asli menerima rawatan berkaitan kes berkenaan sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Katanya, seramai 40 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring, manakala 22 dirawat di wad biasa Hospital Gua Musang serta 18 di Hospital Kuala Krai.
“Pada masa sama, 14 kes dicatatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di perkampungan terbabit menjadikan keseluruhan 99 kes setakat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Town Hall Menteri Kesihatan Bersama Pengamal Perubatan Swasta di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pihaknya kini sedang menunggu hasil ujian yang dijalankan bagi mengenal pasti jenis mikro organisme yang mengakibatkan kematian dua Orang Asli di Kuala Koh.
Ujarnya, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap dua mayat terbabit turut mengesahkan kematian itu juga bukan berpunca daripada bahan kimia.
Bagaimanapun tambah beliau, keputusan sama ada sumber air digunakan penduduk Orang Asli di kampung itu turut menjadi punca kematian, hanya dapat dipastikan selepas keputusan ujian sampel air yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar diperoleh.
Katanya, polis juga sudah mula membuat sekatan untuk mengehadkan kemasukan orang luar ke kampung itu dan hanya petugas berkaitan dibenarkan masuk.
Jelasnya, wakil media yang membuat liputan juga perlu melapor diri kepada Jabatan Kesihatan untuk dipantau keadaan kesihatan mereka selepas keluar dari kawasan berkenaan.
“Setakat ini kita masih belum tahu virus atau jenis mikro organisme yang menjadi punca kepada semua kes ini. Kita menunggu ujian serologi dan ‘polymerase chain reaction (PCR),” ujarnya. – MalaysiaGazette