Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah) mendengar penerangan oleh Pengarah Projek Scomi Transit Project (STP), Mark Richard Allen Staib (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasana, Muhammad Nizam Alias (kanan) ketika hadir pada lawatan di Depoh Baru Monorel, Brickfields, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Penggantian tiga set tren empat gerabak KL Monorail akan selesai dan diserahkan pada 16 Ogos tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, tiga set itu akan terus beroperasi sebaik sahaja diterima Prasarana Malaysia Berhad.

Baki dua set lagi dijangka dihantar tiga bulan kemudian,

Ketika ini hanya enam tren dua bergerabak sedang beroperasi setiap hari yang hanya mampu menampung 214 orang penumpang  dengan keseluruhan 31,000 penumpang sehari sahaja.

Manakala tren empat gerabak menampung 423 penumpang dalam satu perjalanan.

“Memang tidak cukup sebab itu banyak aduan kita terima. Kita perlu sekurang-kurangnya tiga set. Kita harap masalah ini dapat selesai pada 16 Ogos ini.

“Saya datang melihat sendiri perkembangan semasa kerja-kerja membaiki dan menggantikan komponen lama dengan yang baharu yang mengikut jadual yang ditetapkan tanpa kelewatan.

“Pemeriksaan tren yang dipanggil dari perkhidmatan awam dilaksanakan pada Mei dan kerja kerja penukaran komponen rosak bermula penghujung Mei lalu,”  katanya selepas mengadakan lawatan di depoh monorel di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini.

Terdahulu beliau diberi taklimat oleh beberapa pegawai kanan Prasarana dan Scomi yang bertanggungjawab menguruskan kerja pembaikan Monorail.

Tambah beliau, kerja-kerja membaiki tren dipergiatkan dengan menggerakkan pekerja dan jurutera kepada dua syif bagi menyegerakan kerja-kerja mengikut tarikh yang ditetapkan.

Anthony berkata, memang berlaku penurunan mendadak dalam jumlah penumpang disebabkan ketidakselesaan pengguna monorel,

Keadaan itu memaksa mereka memilih alternatif pengangkutan awam lain seperti bas percuma Go KL yang diperkenalkan DBKL.

Tambah beliau, dalam masa 18 bulan lagi 7 set tren baharu empat gerabak akan diterima secara berperingkat-peringkat.

“Sebelum itu keutamaan kami ialah menyiapkan dan mengembalikan lima tren gerabak empat ini beroperasi semula sepenuhnya.

“Dengan tambahan 7 set tren baharu nanti, kita akan ada 12 tren empat gerabak yang akan memastikan kapasiti penumpang  bertambah lagi.

“Kita yakin monorel  akan kembali digunakan selepas November nanti dan penambahan jumlah pengguna dijangka mencecah lebih 100,000 dalam masa beberapa bulan lagi.

Penerimaan tujub set tren baharu itu menurutnya, tidak melibatkan penambahan atau pembinaan landasan baharu sebaliknya landasan sedia ada akan digunakan dengan mengintegrasikan tren LRT dan Star LRT serta MRT menjadi pelengkap sistem pengangkutan tren di rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast