WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump memberi tekanan kepada Arab Saudi supaya menunjukkan “kemajuan ketara” terhadap siasatan dan hukuman pihak yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi sebelum genap setahun tragedi itu.
Mesej terhadap Arab Saudi itu kekal sebagai ‘isu panas’ dan ‘mereka perlu mengambil perhatian secara serius’, menurut sumber kepada Reuters.
Pembuat dasar dalam kalangan Republikan dan Demokratik mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi ada peranan dalam kes pembunuhan Khashoggi.
Sumber yang tidak mahu disebut namanya berkata, Arab Saudi perlu melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan yang perlu menjelang tahun pertama kematian wartawan itu tetapi tidak menyatakan tentang akibat jika mereka gagal berbuat demikian.
Kolumnis Washington Post dan penduduk tetap Amerika Syarikat itu dikenali sebagai pengkritik lantang terhadap Putera Mahkota Arab Saudi.
Beliau didapati hilang selepas memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober tahun lalu.
Arab Saudi telah mendakwa 11 orang suspek dalam perbicaraan dalam prosiding rahsia tetapi pendengaran kes itu hanya dibuat beberapa kali sahaja sejak Januari lalu.
“Sensitiviti kes itu akan meningkatkan menjelang setahun pembunuhannya. Ia akan menjadi minat setiap orang untuk melihat progres terhadap kes tersebut,” kata sumber itu.
Agensi Siasatan Pusat (CIA) telah menetapkan peringkat ‘keyakinan sederhana hingga tinggi’ bahawa Putera Mahkota yang dikenali menggunakan singkatan MbS dan dipertimbangkan sebagai de facto Arab Saudi telah mengarahkan pembunuhan tersebut.
Agensi perisik Amerika Syarikat telah meneruskan pemantauan dan mengumpul maklumat tetapi tidak melakukan siasatan berskala penuh, kata pegawai Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette