PETALING JAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak hadir pada mesyuarat biro politik PKR yang bersidang 5 petang ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah menghubungi Timbalan Presidennya itu semalam berhubung isu yang tercetus semalam.
“Tidak (Azmin tidak datang ke mesyuarat) tapi saya ada hubungi melalui telefon dan bicara panjang, saya bercakap panjang semalam,” katanya ketika diserbu pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut pada jam 5.45 petang di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak memperincikan perbualan beliau dengan Mohamed Azmin.
“Nanti saya bincang..saya maklumkan pada pimpinan parti nanti (mesyuarat),” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya akan membincangkan semua perkara termasuk isu-isu terkini.
Ditanya mengenai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) yang akan menyiasat Menteri Kabinet terbabit, katanya beliau menyerahkan perkara itu kepada suruhanjaya tersebut.
“Kami bertemu semua pemimpin parti dan biro politik.
“Adalah wajar saya tampil dengan kenyataan selepas mesyuarat kejap lagi,” katanya.
Ditanya tempoh masa berlangsungnya mesyuarat itu, Anwar secara berseloroh berkata: “Saya rasa dalam 6 jam, saya sudah bertemu mereka secara individu dan berbincang dengan mereka.
“Maka saya tidak merasakan ia (mesyuarat) itu akan mengambil masa yang lama,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Dr Xavier Jeyakumar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa selain Ahli Parlimen PKR Selayang, William Leong. – MalaysiaGazette.