KUALA LUMPUR – Satu sindiket dadah yang menggunakan mangkuk stainless steel untuk menyeludup ketamin bernilai hampir RM1 juta ke Taiwan ditumpaskan oleh polis.
Modus operandi sindiket itu dengan menyorokkan ketamin dalam bungkusan kecil di dalam mangkuk cendol dan memeterinya seolah-olah ia kelihatan seperti mangkuk kosong.
Mereka kemudian cuba menyeludup menerusi kurier bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
Bagaimanapun, aktiviti itu ditumpaskan dengan tertangkapnya dua suspek lelaki dipercayai menjadi ahli sindiket tersebut.
Timbalan Pengarah Narkotik Bukit Aman Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 22 dan 23 tahun itu ditangkap dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 10 dan 11 Jun semalam antara 10 pagi hingga 2.15 petang.
“Bertindak atas maklumat awam, polis membuat pemeriksaan di syarikat kurier terhadap bungkusan yang meragukan sebelum berjaya merampas sejumlah dadah seberat 6.2 kilogram disyaki ketamin dalam bentuk 154 paket kecil yang disorok dalam 154 mangkuk stainless steel ‘cendol’ kecil yang dipateri kemas dianggarkan bernilai RM372,000.
“Selepas rampasan barang baru kami menahan dua suspek dipercayai ahli sindiket yang juga menjadi perantara dalam kegiatan ini yang masih disiasat tempoh aktif di negara ini.
“Jika di pasaran gelap Taiwan nilainya lebih RM900,000 atau hampir sejuta ringgit dan Malaysia dijadikan transit penyeludupan dadah,” katanya dalam sidang media kejayaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Polis turut merampas sebuah kereta Myvi dipercayai digunakan ahli sindiket untuk kegiatan mereka.
Mereka direman selama 7 hari sehingga 18 Jun untuk disiasat dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat lanjut mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kata beliau, secara lazim Ketamin biasanya dibawa masuk dari India untuk diseludup ke negara lain.
Tambahnya, siasatan diteruskan untuk memastikan lokasi asal barang rampasan yang dibawa masuk ke negara ini.
Menurutnya, salah seorang suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau sambil tidak menolak kemungkinan rampasan ketamin berkenaan adalah dari India.- MalaysiaGazette