Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua kanan) menerima pelukan dan ucapan tahniah dari calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan selepas mahkamah menolak petisyen membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lepas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk mengekalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kerusi Parlimen Jasin, sekali gus menolak petisyen calon Pakatan Harapan (PH).

Petisyen yang dibawa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditolak dengan alasan Khairudin gagal menunjukkan ‘ketidakpatuhan’ yang didakwa telah berlaku pada PRU lepas.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais dalam penghakimannya berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Hamzah adalah sah.

Pada Pru14, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Ahmad berjaya mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon Pas, Abd. Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahmad untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin selaku pempetisyen.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac lalu.

Seramai 44 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Selepas itu, Mahkamah Pilihan Raya di Melaka pula menetapkan keputusan untuk petisyen pilihan raya Parlimen Jasin dijadualkan pada hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika ditemui MalaysiaGazette di luar pekarangan mahkamah, Khairudin memberitahu, beliau tidak rasa kecewa sebaliknya pasrah menerima keputusan tersebut dan tidak akan membuat rayuan selepas ini.

“Saya tidak akan merayu. Saya terimalah keputusan ini dengan terbuka dengan semangat ‘rule of law’ yang kita dalam PH amalkan.

“Tetapi kerja-kerja dan tanggungjawab di Parlimen Jasin akan berjalan seperti biasa malah kita akan bekerja dengan lebih keras lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast