SHAH ALAM – Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim hari ini, mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam yang baharu.
Beliau mengangkat sumpah di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang telah tamat tempoh perkhidmatan.
Haris, 56, sebelum ini dilaporkan sudah memulakan tugas di MBSA sejak 3 Jun lalu, dan majlis angkat sumpah secara rasmi bermula hari ini kira-kira jam 9.30 pagi.
Turut hadir menyaksikan majlis itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan pengurusan tertinggi MBSA.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor dari tahun 2005 hingga 2011; Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (2011); dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (2012 hingga 2014).
Anak kelahiran Lumut, Perak ini adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Malaya (UM) serta Diploma Pentadbiran Awam dan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (INTAN). – MalaysiaGazette