Ivan Golunov. foto Al Jazeera

MOSCOW – Polis Rusia menarik balik pertuduhan dadah yang dikenakan terhadap seorang wartawan, Ivan Golunov – tindakan pusingan U yang sangat jarang dilakukan oleh pihak berkuasa negara ini.

Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas orang awam marah kerana pertuduhan tersebut dilihat ada kaitan dengan tugas Ivan yang banyak membongkarkan skandal rasuah.

Malah, orang awam mengancam untuk melakukan protes besar-besaran di Moscow.

Ivan, 36, merupakan wartawan yang dikenali melakukan pendedahan rasuah dalam kalangan pegawai Moscow, ditahan polis Khamis lalu dan dituduh terlibat dengan dadah tetapi dinafikannya.

Wartawan Rusia yang kritikal terhadap pihak berkuasa sering berdepan dengan risiko sejak tahun 1990-an termasuk diancam, diserang secara fizikal, malah dibunuh.

Para penyokong mendakwa penahanan dan pertuduhan ke Ivan telah dirancang, sekali gus menyaksikan penyatuan media hingga pihak berkuasa gugup.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Vladimir Kolokoltsev berkata, kes jenayah terhadap Ivan ditarik balik kerana kekurangan bukti.

Ivan telah dibebaskan daripada tahanan rumah.

Selepas gelang elektronik di pergelangan kakinya dibuka, wartawan itu keluar dari balai polis dan menemui rakan-rakan media yang telah memberi sokongan.

Ketika mengalu-alukan pembebasan Golunov, seorang jurucakap Kesatuan Eropah mengenai hal ehwal luar negeri berkata, trend kebebasan media “tetap membimbangkan”.

“Bebas dan suara kritikal adalah bahagian penting bagi mana-mana masyarakat yang berdaya saing,” kata Maja Kocijancic. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast