KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang membuat pengumuman bersara hari ini.
Menerusi Facebook, Ahli Parlimen Port Dickson mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei yang telah berjuang selama 19 tahun untuk mengharumkan nama negara di persada sukan berkenaan.
“Terima kasih atas komitmen dan dedikasi beliau buat tanah air tercinta,” tulis beliau di laman sosial itu.
Terdahulu, Chong Wei dalam satu sidang media di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya hari ini mengumumkan menggantung raket selepas 19 tahun terlibat dalam arena berkenaan.
Keputusan itu dibuat ekoran masalah kesihatan yang dialamainya ketika ini.
Meskipun, sukar membuat keputusan itu namun, Chong Wei terpaksa berbuat demikian selepas memahami nasihat yang diberikan doktor yang merawatnya.
Pada sidang akhbar yang turut dihadiri media tempatan dan luar negara, pemain berusia 36 tahun itu dilihat mengalirkan air mata dan ucapannya tersekat-sekat kerana sebak.
Beliau berkata, ia adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukan kerana sangat sayangkan sukan badminton yang diceburinya sejak berusia 10 tahun.
“Hari ini, semua orang tahu saya mahu mengumumkan persaraan saya selepas 19 tahun dalam BAM. Memang berat untuk saya buat keputusan ini, kerana saya amat mencintai sukan ini.
“Tapi buat masa sekarang apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan saya.
“Saya berehat selama sebulan selepas pemeriksaan di Taiwan pada April dan berbincang dengan isteri saya dan keluarga mengenai keputusan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette