PUTRAJAYA – Datuk Lee Chong Wei hari ini mengumumkan persaraannya dalam arena sukan badminton selepas terlibat selama 19 tahun dalam sukan itu.
Jaguh badminton negara itu membuat keputusan berkenaan pada usia 37 tahun dengan menegaskan dia perlu mengutamakan kesihatannya.
Pengumuman menggantung raket itu dilakukan dalam satu sidang media khas di pejabat Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Dalam sidang media tersebut Chong Wei dilihat mengalirkan air mata ketika berucap.
Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, keputusan tersebut merupakan perkara paling sukar pernah dibuatnya, namun, selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya, Datin Wong Mew Choo beliau pasrah.
“Saya ke Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan tidak sesuai lagi untuk saya meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.
“Jadi selepas pulang saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan mengenainya sebelum saya membuat keputusan untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) bagi meminta pandangan mereka.
“Saya akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa yang paling penting adalah isu kesihatan saya,” katanya.
Dalam sidang media itu Chong Wei ditemani Syed Saddiq, Norza dan juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menenangkan Chong Wei yang kelihatan sebak .
Selain daripada menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), Chong Wei juga merupakan satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series iaitu sebanyak 46 kali.
Sebelum ini, terdapat spekulasi mengatakan beliau akan mengumumkan persaraan.
Spekulasi semakin hangat apabila Chong Wei dikatakan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mula bercuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan. – MalaysiaGazette