SEREMBAN – Skim perlindungan kesihatan nasional, mySalam, yang menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta individu B40, memerlukan lebih banyak promosi memandangkan masih ramai yang belum mengetahuinya secara jelas.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata orang ramai menyifatkan skim berkenaan sangat baik untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), namun kekurangan promosi menyebabkan ia tidak diambil peluang oleh mereka yang tidak menyedari kewujudan skim tersebut.
Pekerja swasta, Mohd Al Zubair Zakaria, 35, berkata beliau hari ini pertama kali mendengar mengenai skim itu dan berharap kerajaan mempergiatkan lagi promosi dan hebahan mengenai manfaat MySalam terhadap golongan B40.
“Setelah mengetahui faedah dan kelebihan yang diperoleh oleh penerima skim tersebut, saya menyokong usaha kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan ini.
“Perkara ini seharusnya diuar-uarkan supaya lebih ramai golongan yang disasarkan menyertai skim ini dan berharap lebih banyak lagi promosi dan hebahan mengenai perkara baik ini disampaikan kepada orang awam,” katanya di sini.
Berkongsi pandangan yang sama adalah pekerja swasta, T. Koghilavanee, 37, yang turut pertama kali mendengar mengenai skim yang diwujudkan kerajaan itu.
“Benda yang baik seharusnya disebarkan supaya mereka yang layak dapat menerima manfaatnya,” katanya.
Penjawat awam Nursafawati Tahar, 25, pula berkata beliau sebelum ini pernah dengar mengenai skim tersebut tetapi tidak mengetahui secara lebih mendalam mengenai faedah sebenar yang akan diperoleh oleh penerima.
“Setelah mengetahui terdapat elaun hospital harian RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun, jika menghidap 36 penyakit kritikal ia mampu membantu meringankan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya ada ahli keluarga lain atau rakan-rakan yang menghidap penyakit kritikal memerlukan bantuan secara tidak langsung mereka menikmati faedah ini yang telah disediakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini juga mendapati syarikat insurans berkenaan belum lagi membuka kiosk di situ untuk memudahkan orang ramai mengetahui kewujudan skim berkenaan.
Skim mySalam yang mula diperkenalkan pada 1 Jan 2019 menawarkan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima B40 yang layak untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 dan memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.
Inisiatif itu adalah hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings, yang menyumbang caruman dana permulaan RM2 bilion ke dalam dana amanah, mySalam. – Bernama