SHAH ALAM – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau belum lagi dipanggil untuk beri keterangan berhubung penyebaran empat video intim mirip dirinya.
“Ada tak pihak polis panggil beri keterangan? Tidak (belum lagi),” katanya ketika berkunjung ke Rumah Terbuka Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.
Mohamed Azmin berkata demikian ekoran kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung video intim berkenaan.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR itu berkata, setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham sudah memberikan keterangan kepada pihak polis.
Katanya, ia berhubung laporan polis Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa diugut oleh Muhammad Hilman.
“Saya difahamkan pihak polis telah panggil Hilman pagi ini untuk beri keterangan,” katanya.
Petang semalam, Muhammad Haziq membuat satu laporan polis mengulangi tuduhan dari kenyataan terdahulunya bahawa Mohamed Azmin menghantar setiausaha politiknya, Muhammad Hilman untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya.
Selain itu, jelas Muhammad Haziq, Muhammad Hilman turut memaksanya untuk menafikan bahawa diri dalam video yang tular itu dan memintanya berbohong.
Muhammad Haziq juga mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.
Dan tengahari tadi, Muhammad Hilmi turut membuat laporan balas kepada polis jam 12.30 tengah hari tadi di di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya.
Dalam laporan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu mengakui dia ada mengadakan pertemuan dengan Muhammad Haziq di Zest Coffee House, Marriot Hotel, Putrajaya pada 11 Jun lalu atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Azmin.
Muhammad Hilman turut menafikan sekeras-kerasnya telah melakukan ugutan ke atas Muhammad Haziq. – MalaysiaGazette