Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR –  Terdapat keperluan mendesak bagi industri kewangan dan negara untuk menyediakan rangka kerja berwibawa dan terjamin untuk inovasi teknologi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini.

Memberikan contoh, beliau berkata, keperluan untuk merumuskan strategi negara yang sepadu, mantap dan komprehensif mengenai keselamatan siber adalah amat penting.

“Kita hanya akan dapat memainkan peranan dipertanggungjawabkan kepada kita untuk menyokong ekonomi secara menyeluruh sekiranya kita memberi tumpuan kepada pertimbangan risiko strategik dan operasi,” katanya semasa merasmikan Minggu MyFintech 2019 yang julung kali dianjurkan di sini, hari ini.

Dunia, seperti ditegaskan oleh beliau, telah mengalami perubahan dramatik dan menggesa supaya tumpuan diberikan pada lima megatrend.

Menurutnya lima megatrend itu berhubung kait dengan perubahan dalam aturan ekonomi dunia dengan kebangkitan Asia, risiko perubahan iklim, peningkatan ketaksaksamaan pendapatan, peningkatan populisme dan perlindungan dasar-dasar serta kemajuan teknologi.

Kebergantungan yang semakin meningkat kepada teknologi, menurut gabenor telah mencetuskan kehadiran risiko yang tidak boleh diabaikan termasuk isu privasi data, diskriminasi atau berat sebelah dan perpindahan segmen tertentu dalam masyarakat.

“Dalam era digital, risiko lebih tinggi bagi serangan siber dan gangguan operasi secara besar-besaran adalah sesutau yang kita masih belum dapat atasi dengan sepenuhnya.

‘’Oleh itu, ketika kita beri pertimbangan kepada masa depan kewangan, kita perlu merenungkan bukan sahaja tentang bagaimana megatrend ini memberi kesan terhadap kewangan, tetapi juga bagaimana kewangan sendiri boleh memberi respons dan mencorakkan trend ini kepada lebih positif di masa depan,” katanya.

Nor Shamsiah turut menegaskan bank pusat komited dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk membolehkan inovasi berkembang maju.

“Sepertimana mana-mana institusi kewangan, kita perlu mengseimbangkan manfaat penting institusi-institusi kewangan dengan risikonya.

“Kami juga sedar bahawa gesaan yang kami buat untuk industri sendiri mengawal dan menyelia, boleh menghalang inovasi,” katanya.

Kewangan, menurut beliau, perlu relevan dengan keperluan ekonomi dan ia mesti menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan yang sesuai, kos efektif dan berkualiti untuk semua segmen masyarakat.

Ia juga perlu respons terhadap perubahan demografi dan struktur ekonomi, katanya.

“Untuk selamat, kewangan tidak boleh menyemai benih kehancurannya sendiri dan tidak berfungsi sebagai penampan risiko terhadap ekonomi.”

Gabenor mengambil perhatian bahawa keupayaan kewangan untuk menggerakkan modal, mewujudkan manfaat dan pengagihan mengambil risiko akan menyebabkan ketidakstabilan yang bukan sahaja berbahaya kepada syarikat tertentu tetapi juga ekonomi dan masyarakat umumnya.

Kewangan juga perlu bertanggungjawab terhadap sosial, kata Nor Shamsiah.

Beliau menegaskan, institusi kewangan perlu mementingkan kepimpinan yang sangat diperlukan di dunia berikutan pengabaian berterusan terhadap pembangunan saksama dan alam sekitar yang semakin terjejas akan menyebabkan masyarakat kehilangan tempat tinggal, meningkatkan ketegangan sosial dan politik serta meletakkan generasi akan datang berdepan risiko.

MyFW2019 yang akan berakhir pada 21 Jun diadakan bersempena dengan Minggu Teknologi Malaysia 2019 anjur Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.

Ia bertujuan menggalakkan pertumbuhan dan kepelbagaian dalam ekosistem fintech, merangsang transformasi digital institusi kewangan, memacu inovasi bertanggungjawab dalam fintech dan meningkatkan penerimaan fintech dalam kalangan orang awam.

Bertemakan “Arus Perubahan: Masa Depan Kewangan”, MyFW2019 memberi tumpuan kepada lima bidang utama termasuk keselamatan siber, kewangan Islam dan Insurtech. – MalaysiaGazette