Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berucap pada forum 'Talking Drugs, Time to Reform' di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 JUN 2019

KUALA LUMPUR- Cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori mungkin boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, ketika ini beliau hanya menantikan dokumen daripada Jabatan Peguam Negara diserahkan semula kepadanya.

“Cadangan pemansuhan hukuman mandatori itu sudah ada progres. Saya harap cadangan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

“Saya ketika ini cuma menantikan dokumen-dokumen berkaitan diserahkan semula kepada saya oleh Jabatan Peguam Negara dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Reformasi Dadah, Hukuman Mati dan Hak Asasi Manusia di sini hari ini.

Sidang kedua Parlimen bagi tahun ini akan bermula 1 Julai depan selama 12 hari.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan hukuman mati bagi 11 kesalahan jenayah akan dihapuskan.

Ini melibatkan sembilan jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pemansuhan hukuman mati merupakan salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast