KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mendapatkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN sebagai langkah memperkukuh tahap keselamatan siber di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah tersebut perlu diambil memandangkan Malaysia menghadapi banyak masalah berhubung perkara itu pada masa ini.
Katanya, tahap keselamatan siber perlu dipertingkatkan kerana jika tidak ia boleh menimbulkan banyak masalah, sekali gus meninggalkan keburukan kepada negara.
“Betapa pentingnya Cyber Security dalam negara kita kerana negara ini sekarang ada banyak masalah.
“Kalau keselamatan dalam negara ini terjejas ia boleh beri keburukan, itu yang penting untuk saya datang merasmikan program ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Pertahanan Siber IACSP di sini hari ini.
Bagaimanapun Wan Azizah berkata, kerjasama yang hendak dilaksanakan itu perlu dilihat terlebih dahulu kerana tidak semestinya semua perkara boleh dikongsikan.
Dengan memberikan contoh data yang dimiliki oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia beliau berkata, maklumat itu tidak semestinya boleh dikongsi dengan pihak luar.
Tambahnya, langkah yang akan dilakukan itu bukan satu perkara mudah dan ia memakan masa sebelum dilaksanakan. – MalaysiaGazette