SHAH ALAM – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan untuk memanggil mana-mana pihak termasuk ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi keterangan berhubung penularan video intim didakwa melibatkan seorang menteri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, memandangkan siasatan masih berjalan, sekiranya wujud keperluan, pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja bagi membantu dalam kes tersebut.
“Siapa saja yang kita rasakan perlu ambil percakapan, kita akan panggil untuk dirakamkan percakapan dan sebagainya. Siasatan masih berjalan.
“Ia melangkaui semua (phiak), siapa saja, bukan (ahli) PKR saja, siapa saja yang boleh bantu dalam siasatan ini, kita akan panggil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Sumbangan MRCB kepada PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyatakan bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak Selasa dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.
Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.
Pada 11 Jun lalu, beberapa gambar dan video intim mirip menteri itu bersama seorang lelaki, Haziq Abdullah Abdul Aziz disebarkan melalui satu grup WhatsApp diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’.
Mazlan juga berkata, tiada jangka masa tertentu untuk polis menyiapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
“Siasatan ini, tiada jangka masa, biar kita perhalusi, tiada jangka masa untuk kita cepatkan siasatan, tapi memang kita laksanakannya supaya kita dapat selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Selain itu, Mazlan juga mengesahkan Mohamed Azmin sudah diambil keterangan mengenai kes terbabit tanpa menyatakan masa dan lokasi percakapan menteri itu direkodkan.
“Saya sahkan dia sudah dirakamkan percakapan, sudah disahkan, di mana tak payah tanya lah, sudah ambil keterangan (semalam) ya,” tegasnya.
Mazlan turut mengulangi pendiriannya bahawa segala butiran mengenai siasatan ke atas kes terbabit tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Saya sudah beritahu bahawa kita tidak mahu mendedahkan apa-apa sahaja, selain daripada siasatan sedang dijalankan, dan kita masih lagi dalam siasatan, cara mana siasatan, tindakan itu saya tidak akan dedahkan ,” katanya. – MalaysiaGazette