PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan berharap kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan akan menunjukkan penurunan pada tahun ini supaya segala usaha kerajaan mendidik rakyat tentang pentingnya keselamatan jalan raya membuahkan hasil.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun jumlah kematian 2018 menurun berbanding 2017, tetapi jumlah kemalangan masih tinggi dan membimbangkan khususnya pada musim perayaan.
“Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi jumlah kemalangan jalan raya pada 2018 adalah sebanyak 548,598.
“Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan bagi tahun 2018 dengan 6,284 kematian berbanding 6,740 pada tahun 2017, manakala jumlah kematian akibat kemalangan pada Januari hingga Mac 2019 mencatatkan sebanyak 1,483 kematian.
“Namun demikian, jumlah itu amat membimbangkan dan haruslah diambil perhatian yang serius oleh kita semua kerana ia akan melibatkan nyawa sesiapa sahaja termasuklah orang-orang yang kita sayangi dan ahli keluarga kita,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Anthony berkata, setiap tahun kementeriannya melalui Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan PDRM mengadakan kempen keselamatan jalan raya dan melancarkan Ops Bersepadu dan Ops Selamat sempena musim perayaan.
“Usaha dan inisiatif sebegini yang dilaksanakan oleh kementerian serta jabatan dan agensi amatlah baik dan perlu disokong oleh kita semua sebagai pengguna jalan raya.
“Saya merayu kepada semua terutamanya kepada warga MOT dan jabatan dan agensi di bawahnya supaya kita bersama-sama membantu dan menyokong usaha-usaha keselamatan jalan raya ini.
“Pandulah dengan cermat pada setiap masa dan di mana sahaja agar kita sentiasa selamat daripada sebarang malapetaka yang tidak diingini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette