GENEVA – Terdapat bukti yang boleh dipercayai tentang pembabitan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan pegawai-pegawai peringkat tertinggi terlibat dalam pembunuhan Jamal Khashoggi.
Laporan oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agnes Callamard berkata, keterangan itu bersesuaian dengan siasatan antarabangsa yang bebas dan adil.
Ejen-ejen Arab Saudi telah membunuh wartawan itu di dalam konsulat milik negara itu di Istanbul meskipun Riyadh menegaskan mereka yang terlibat itu tidak bertindak atas perintah Putera Mohammed.
Riyadh memberitahu, negara itu telah mengenal pasti 11 orang yang dipercayai dalang pembunuhan Khashoggi dan lima daripada mereka akan menghadapi hukuman mati.
Bagaimanapun, Callamard berkata, perbicaraan itu gagal memenuhi piawaian prosedur dan substantif antarabangsa dan mahu prosiding itu digantung.
Namun, Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Adel al-Jubeir, menolak laporan itu dan mendakwa ia “tidak ada yang baru” dan mengandungi “percanggahan jelas dan tuduhan tidak berasas yang mencabar kredibiliti”.
“Badan kehakiman Arab Saudi adalah pihak tunggal yang memenuhi syarat untuk menangani kes Khashoggi dan melaksanakannya dengan bebas,” kata Jubeir.
Wartawan berusia 59 tahun ketika kejadian itu merupakan kolumnis bagi Washington Post dan dikenali kerana kerap mengkritik Putera Mahkota.
Kali terakhir beliau dilihat memasuki bangunan konsulat Arab Saudi apda 2 Oktober tahun lalu untuk mendapat dokumen kebenaran bagi perkahwinannya dengan Hatice Cengiz.
Callamard berkata Khashoggi “dibunuh secara kejam” di dalam konsulat hari tersebut.
Beliau dipertanggungjawabkan untuk meneliti kejadian itu oleh pejabat hak asasi manusia berhubung “sifat dan sejauh mana tanggungjawab negara dan individu dalam kes pembunuhan”.
“Dari perspektif undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, tanggungjawab negara bukanlah persoalan, contohnya, dari mana pegawai-pegawai kerajaan memerintahkan kematian Khashoggi: sama ada satu atau lebih memerintahkan penculikan yang kemudian menjadi pembunuhan secara tidak disengaja; pegawai bertindak atas inisiatif mereka sendiri atau ultra vires (arahan kuasa besar),” menurut nota laporan.
Callamard juga menentukan bahawa terdapat “bukti yang boleh dipercayai, menjamin penyiasatan lanjut mengenai liabiliti individu berkedudukan tertinggi termasuk putera mahkota”.
Pelapor khas PBB itu mengatakan Putera Mohammed dan nama-nama individu yang terlibat dalam pembunuhan itu harus tertakluk kepada sekatan yang telah ditetapkan oleh beberapa negara anggota PBB, termasuk Amerika Syarikat.
Sekatan tersebut menumpukan kepada aset peribadinya di luar negara, harus berlaku “sehingga dan jika bukti telah dibuat, dia tidak bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Khashoggi”, kata laporan itu. – MalaysiaGazette