Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitiri Kementerian Dalam Negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2019.

SERDANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk meneruskan penganjuran majlis rumah terbuka meskipun negara sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak dapat menafikan kebaikan penganjuran rumah terbuka khususnya Hari Raya Aidilfitri yang menjadi platform perpaduan rakyat di negara ini.

“Dalam keadaan negara kita berhadapan dengan sedikit banyak masalah ekonomi, tetapi majlis seperti ini akan dapat kita terus adakan kerana kita tahu kesan daripadanya.

“Kita dapat memupuk semangat silaturrahim, kerjasama rapat dan erat dalam sebuah negara yang pelbagai kaum, adat resam dan budaya.

“(Perpaduan dapat dilihat) apabila boleh bersatu hati merayakan hari raya seperti mana yang kita raikan sekarang,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitiri Kementerian Dalam Negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2019.

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, amalan rumah terbuka membuktikan Malaysia bukan sahaja aman dan sejahtera bahkan rakyat menghormati serta boleh meraikan kepelbagaian.

“Kerjasama dan perpaduan yang kukuh inilah (membolehkan) Malaysia dapat terus menjadi sebuah negara yang kekal maju dan berjaya.

“Saya berharap kita mengambil iktibar daripada Aidilfitri yang kita raikan ini untuk meningkatkan kerja dan usaha kita.

“Kita harap dapat membantu agar rancangan dan usaha yang diatur pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri akan dapat disokong.

“Sokongan itu bukan sahaja pegawai-pegawai di KDN tetapi tidak kurang pentingnya daripada masyarakat umum yang sama-sama mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, aman dan sejahtera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette