SERDANG – Kerajaan tidak akan tergesa-gesa menerima dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara membuta tuli tanpa mengkaji kesannya terlebih dahulu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun cadangan itu dibincangkan dalam kabinet hari ini namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Tidak ada apa-apa keputusan dibuat, itu adalah diskusi umum nak mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak dan sebagainya.
“Setakat hari ini, belum ada apa-apa keputusan, Kementerian Pendidikan Malaysia diminta untuk mengkaji dan meneliti, jadi itu status terkini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia hari ini.
Beliau mengulas laporan media Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam akan membantah jika terdapat perancangan untuk melaksanakan semula PPSMI.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad berkata, pihaknya akan meneruskan tekanan termasuk mengadakan himpunan cendekiawan Melayu pada 4 Julai ini dan meminta Komuniti Pendidikan majlis tersebut mengangkat isu tersebut.
Sementara itu, Presiden NUTP, Amiruddin Awang berkata, PPSMI bukan ubat yang sesuai untuk merawat masalah para pelajar yang gagal menguasai bahasa asing itu.
Dalam soal yang sama, Muhyiddin konsisten dengan pendirian dan keputusan yang dibuatnya ketika menggalas jawatan Menteri Pendidikan ketika dalam Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak meneruskan cadangan itu.
“Bagi saya itu amat penting kerana saya dulu pun telah membuat keputusan masa kerajaan dulu untuk tidak meneruskan.
“Sebab itu saya ingatkan ini adalah satu perkara yang amat penting dan besar, tidak perlu tergopoh-gopoh nak buat keputusan
“Yang penting, kita tekankan di situ ialah bagaimana kita nak tingkatkan penguasaan tahap kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette