KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang mendakwa jabatan itu akan memindahkan Orang Asli Kuala Koh ke satu tempat yang baharu.
Menurutnya, JAKOA tidak pernah menyatakan hasrat untuk memindahkan mereka ke mana-mana lokasi baharu dan perkara ini tidak pernah dibangkitkan sama ada melalui media ataupun dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat peringkat jabatan.
JAKOA berpendapat memindahkan mereka ke lokasi yang baharu bukan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh komuniti tersebut.
Sebaliknya, perancangan rapi merentas agensi perlu difomulasikan untuk merealisasikan pembangunan yang holistik,
bersepadu dan lestari.
“Untuk makluman, Jakoa dan Kementerian Pembangunan Luar Banda (KPLB) telah melaksanakan beberapa projek pembangunan di perkampungan tersebut, di antaranya bantuan perumahan sebanyak 16 buah rumah yang dibina di bawah Program Bina Rumah (PBR).
“JAKOA akan terus menyalurkan bantuan ini kepada komuniti pada masa akan datang sehingga mereka semua mempunyai rumah yang selesa,” katanya dalam satu kenyataan.
Berhubung pengumuman Menteri Kesihatan tentang punca kematian 15 Orang Asli Suku Kaum Bated di Kampung Kuala Koh berpunca wabak demam campak.
Dalam menangani kes ini, JAKOA telah membuat keputusan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah Kelantan agar masyarakat Orang Asli suku Kaum Bateq ini dapat diberikan suntikan imunisasi yang sepatutnya (lengkap) ketika masih bayi dan kanak-kanak.
Ini dapat mencegah mereka daripada penyakit seperti ini yang sedang melanda masyarakat ini sekarang, ujarnya.
JAKOA juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah untuk Program Kem Kesihatan dengan mengadakan kempen dan ceramah berkaitan kesedaran dan kepentingan menjaga kesihatan.
Jabatan ini juga, katanya, komited dengan Jabatan Kesihatan Kelantan untuk membuat Sistem Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS).
Tindakan akan diambil secepat mungkin atau sebaik sahaja Kampung Kuala Koh diisytiharkan selamat daripada wabak dan kembali ke zon hijau.
Dalam masa yang sama JAKOA juga telah memohon kepada Kementerian Air, Tanah dan Alam Sekitar supaya Kampung Kuala
Koh dapat dibekalkan Air terawat dengan kadar segera. – MalaysiaGazette