Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan cadangan pindaan UMNO untuk menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Susulan daripada laporan tidak benar yang bersifat spekulatif dan berniat jahat tersebut, saya telah membuat kenyataan balas yang tegas serta semua mereka yang cuba menangguk di air keruh,” kata Naib Presiden UMNO itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada khabar angin dan cakap-cakap di luar sana bahawa proses cadangan pindaan Perlembagaan UMNO adalah satu usaha tidak langsung untuk menyingkirkan individu tertentu di dalam UMNO antaranya bekas Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Ia sebelum itu disuarakan oleh salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu hantaran video selepas perkara tersebut dibentangkan dalam MT UMNO oleh Mohamed Khaled selain satu laporan MalaysiaKini.

Menurutnya, penjelasan tersebut dibuat ekoran beberapa perkara penting yang mesti diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Pertama, tidak ada sebarang cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa tersebut. Tidak ada. Malah, MalaysiaKini sehingga ke saat ini gagal mengemukakan sumber serta penjelasan dari manakah mereka mendapat maklumat yang salah dan berniat jahat seperti itu.

“Seperti yang boleh kita jangkakan, MalaysiaKini hanya membisu, melepaskan tangan dan menebalkan muka sahaja selepas melaporkan berita yang salah tersebut,” ujarnya.

Kedua, menurut Mohamed Khaled, adalah tidak sihat untuk sesetengah pihak sama ada di dalam atau luar UMNO khususnya mereka yang mempunyai jawatan untuk terus menyebarkan cerita dan kenyataan yang tidak tepat berhubung proses pindaan Perlembagaan UMNO.

“Ia sangat tidak matang, berniat jahat dan hanya akan membantutkan proses pemulihan UMNO menjadi parti yang lebih kuat dan diyakini,” katanya.

Ketiga, beliau berkata, pindaan Perlembagaan UMNO adalah satu proses yang terbuka dan berterusan dan ia bertujuan mengukuhkan struktur dan tadbir urus UMNO sebagai sebuah gerakan amal bakti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

“Ia bukanlah satu proses yang baru berlaku. Sebelum ini sudah beberapa kali Perlembagaan UMNO dipinda dan kali ini, ia dilakukan dengan tujuan yang sama iaitu untuk mengukuhkan parti.

“Yang lebih penting, segala cadangan pindaan ini dilakukan selepas mendengar pandangan dan berjumpa dengan pelbagai pihak. Saya dan pasukan telah melakukan road tour dan berjumpa dengan semua perhubungan negeri di seluruh negara serta sayap-sayap parti untuk membentangkan cadangan-cadangan pindaan tersebut dan terakhir ialah Jawatankuasa Pengurusan UMNO,” katanya.

Sepanjang proses perjumpaan dan sumbang saran berlaku, beliau berkata, tidak langsung ada cadangan melucutkan keahlian mereka yang di bawa pertuduhan bagi sebarang salah laku.

Keempat, memandangkan segala cadangan pindaan kini sudah dibentangkan pada MT UMNO, ahli-ahli MT UMNO sebenarnya mempunyai ruang yang mencukupi untuk membahaskan perkara tersebut dan memberi pandangan konstruktif mereka, ujarnya.

“Harapan saya ialah agar kesemua cadangan tersebut diteliti oleh ahli-ahli MT UMNO dengan terbuka dan profesional untuk melihat sama ada ia sebenarnya bertujuan menyerang individu tertentu ataupun tidak.

“Kelima, saya percaya sekiranya permainan spekulasi dan persepsi yang tidak benar seperti ini diteruskan, ia akan hanya merugi dan memalukan individu yang menyebarkannya sendiri. Kerana perkara tersebut tidak benar.

“Malah, ia juga akan merugikan parti kerana kita sudah tentunya sedang dinilai dan diperhatikan oleh semua ahli dan masyarakat awam di luar sana.

Biar apa pun, katanya, perkara itu wajar diselesaikan bersama semasa MT mengadakan retreat khusus untuk membincangkan pindaan Perlembagaan UMNO ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast