Datuk Mohd Yusof Ahmad
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku dengan rela hati melakukan dosa berzina termasuk meliwat boleh dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang Syariah.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, jika pelaku membuat pengakuan dengan fikiran yang waras dan rela hati, sepatutnya hukuman mengikut undang-undang Syariah sudah boleh dilaksanakan.

“Dia mengaku telah melakukan perbuatan tersebut, dan jika mengikut Islam sudah boleh disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

“Mengikut undang-undang kesalahan zina (dan liwat) hukumannya boleh dikenakan sebatan dan jika mengikut cara Islam adalah rejam.

“Hukuman sebatan bagi yang bujang dan rejam kepada mereka yang telah berkahwin, tetapi dari segi undang-undang sivil kenalah tunggu hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Seremban, semalam.

Beliau mengulas dakwaan Haziq mengaku sebagai individu bersama seorang mirip menteri Kabinet dalam video seks luar tabii yang tersebar di laman sosial Whatsapp, sejak 11 Jun lalu.

Mohd Yusof juga berkata, sekiranya individu terbabit masih meneruskan perbuatan jenayah tersebut, hukuman Syariah boleh dijatuhkan kepada pelaku.

“Menurut hukum syarak, individu yang mengaku melakukan kemungkaran perlu dihukum, dan jika siasatan yang dilakukan terhadapnya secara berterusan mengaku masih melakukan perkara tersebut, maka hukuman sudah boleh dijatuhkan,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, bekas pegawai kanan kepada seorang Timbalan Menteri itu membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia ialah individu terlibat dalam klip video intim bersama seorang lelaki mirip seorang menteri Kabinet. – MalaysiaGazette